Alvin Chong Buka 2020 Dengan Single Baru Ciptaan Vokalis Kumpulan Samsons, Ariadinata

Fiza Kamarudin
Januari 16, 2020 03:50 MYT
Pelakon dan penyanyi Alvin Chong bakal membuka lembaran seninya untuk tahun 2020 dengan single terbaru ciptaan Ariadinata, penyanyi kumpulan Samsons berjudul Tak Terganti.
Tak Terganti merupakan single solo keempatnya dalam Bahasa Melayu selepas Lagumu (2016), Mencintaimu (2017) dan Tajam (2018).
Lagu ini turut mendapat sentuhan penerbit antarabangsa Bryan B sebagai penggubah dan penerbit rakaman.
Penerbit yang berasal dari Australia ini, pernah bekerjasama dengan artis-artis terkemuka Antarabangsa seperti Sean Kingston, Christian Alexanda, Darren Espanto, Brandon Beal Siti Nurhaliza dan DeFAM.
Tak Terganti yang diberikan suntikan elemen Pop-EDM ini, memiliki kekuatan melodi yang mesra telinga dan lirik yang mudah diingati.
Lebih menarik lagi, lagu yang mengangkat tema cinta ini turut menyaksikan vokal dan penyampaian Alvin semakin matang, sekaligus membezakan lagu ini daripada lagu-lagu Alvin sebelum ini.
Sejak dilamar untuk bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada tahun 2017, profilnya sebagai penyanyi semakin menyerlah apabila merakamkan lagu duet bersama penyanyi Filipina, Isabela Vinzon untuk single berbahasa Inggeris We Got This (2018) dan penyanyi Indonesia, Dea Dalila untuk single berbahasa Melayu Mencintaimu 99% (2018).
Alvin juga berharap agar Tak Terganti dapat menempatkan dirinya sebagai penyanyi lelaki bukan Melayu terunggul dalam persada muzik Melayu.
Single terbitan UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 17 Januari 2020.
Alvin merupakan artis kelahiran program realiti nyanyian Astro Star Quest pada tahun 2009 dan aktif sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara.
Pada tahun 2019, Alvin mencipta sejarah peribadi, apabila dijemput untuk mewakili Malaysia dalam acara berprestij antarabangsa, Asia Song Festival di Korea Selatan.
Bekas pengacara program I Can See Your Voice ini juga berjaya mencuri perhatian peminat Melayu menerusi beberapa drama popular seperti Dia Semanis Honey, Suri Hati Mr Pilot dan Mak Cun.
Namun kredibilitinya sebagai pelakon mula menyerlah menerusi lakonan mantapnya dalam drama bersiri Awak Suka Saya Tak?, sebuah drama yang menggandingkan Alvin dan Emma Membong yang berjaya mencipa fenomena tersendiri.
#Alvin Chong #Lagu baru