HIBURAN
Alya Iman Dedah Lakon Watak Elina Tanpa Sebarang Solekan - “Saya Beranikan Diri Untuk…”
Pelakon, Alya Iman mendedahkan dia cuba beranikan diri untuk tampil tidak mengenakan sebarang solekan ketika membawa watak sebagai Elina dalam drama Pabila Dia Tersenyum.
Kongsi Alya atau nama sebenarnya Alya Ziman Azmil, 24, keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri kerana dia mahu watak Elina itu nampak lebih realistik.
“Drama ini juga merupakan kali pertama saya tidak mengenakan sebarang make-up semasa penggambaran.
“Saya beranikan diri untuk tunjukkan wajah saya yang sebenar,” katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, aktres itu turut mengakui berasa sedikit tidak yakin ketika menjayakan watak Elina itu tanpa sebarang solekan. Namun, dia tetap menyahut cabaran tersebut tanpa solekan.
“Sejujurnya, saya ada rasa insecure sebab tak pakai make up sebab kita sebagai pelakon, mesti kena nampak cantik kan? Tapi kali ni saya kena berani,” jelasnya.
Bagaimanapun, Alya turut menjelaskan dia terinspirasi daripada filem dan drama yang pernah ditontonnya. Oleh itu, dia berhasrat untuk menjadikan watak Elina itu kelihatan lebih jujur.
“Bila saya tengok movie atau drama pun, saya memang nak nampak watak saya tu real. Sebab itu saya cakap dekat diri saya, saya nak nampak karakter Elina ni real dan jujur,” katanya.
Selain Alya Iman yang memegang watak Elina dalam drama Pabila Dia Tersenyum, barisan pelakon yang lain seperti Amir Ahnaf, Adam Lee, Marissa Yasmin dan Iqram Dinzly juga membintang drama tersebut.
Drama ini sudah ditayangkan menerusi platform VIU bermula 24 April 2025.