Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Alyah & Aishah Beri Semangat! Kempen Lose To Win Bantu Perangi Obesiti, Mahu Taja 20 Individu Secara Percuma

Mya Amri
18/12/2023 04:55 MYT
Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (Su.Re Sihat KL) mengambil inisiatif untuk memerangi masalah obesiti di Malaysia dengan melancarkan kempen ‘Lose to Win’.

Menurut Presiden, Su.Re Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, pihaknya berazam untuk meningkatkan kesedaran rakyat di negara ini terhadap obesiti.

“Anda pasti terkejut selepas mengetahui bahawa golongan B40 dan asnaf yang berpendapatan rendah juga boleh menghidap obesiti akibat faktor lain seperti kekurangan makanan berkhasiat, suasana bertekanan tinggi, genetik dan kualiti hidup yang rendah.

“Oleh itu, kami akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi kempen ini untuk mengumpul dana supaya 20 individu berpendapatan rendah yang terpilih dapat menjalani program pengurusan obesiti yang menyeluruh termasuk prosedur kesihatan, pelan nutrisi, senaman dan lain-lain.

“Kami mahu mengubah kehidupan individu tersebut supaya mereka boleh meneruskan pekerjaan mereka untuk menampung ahli keluarga masing-masing,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, kempen kesihatan ini juga melibatkan pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor pakar dalam bidang saluran gastro usus atas (upper gastrointestinal) dan bariatrik, Dr. Mustafa Mohammed Taher dari Pusat Perubatan Gastro Usus dan Hati (CENGILD).

“Prosedur bariatrik bukan lagi dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya prosedur penjagaan kesihatan profesional yang menawarkan penyelesaian yang baik untuk obesiti.

“Dari situ, pesakit obesiti akan dibimbing dengan program kesihatan yang lengkap untuk memastikan mereka pulih dengan cepat dan boleh meneruskan pekerjaan masing-masing secara lebih produktif untuk menyara keluarga mereka,” katanya.

Pelancaran Kempen ‘Lose to Win’ juga turut dihadiri oleh penyanyi terkenal Datuk Aishah dan Datin Alyah yang dijemput untuk berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan di bawah pemantauan Dr. Mustafa.

Untuk info, Malaysia menduduki tangga pertama obesiti Asia Tenggara dan tangga kedua secara global.

Malah golongan B40 merupakan antara peratusan tertinggi mengidap obesiti atas faktor kekurangan makanan berkhasiat.

#Gaya Hidup #Kesihatan #Lifestyle #Datin Alyah #Obesiti #Bariatrik #Kempen #Datuk Aishah #Dr Mustafa #Dr Mustafa Mohammed Taher #Lose To Win #Su Re Sihat KL
;