Penyanyi Aman Aziz menzahirkan rasa terkilannya apabila tidak dapat menunaikan hajat akhir arwah bapanya yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada Jumaat lalu.

Menurut Aman, bapanya, Allahyarham Abdul Aziz Abdullah pernah meluahkan hasrat mahu dirinya bersama tiga adik-beradik lelakinya yang lain menguruskan jenazahnya.

"Kakak saya sempat menjaganya di hosital. Kakak beritahu yang arwah ayah ada cakap yang dia ada empat orang anak lelaki. Dia mahu anak-anaknya mandikan dan sambutnya di bawah (liang lahad).

"Tapi, saya tak sempat nak tunaikan kerana proses urusan pengebumian telah selesai ketika saya tiba sebab sebelum itu saya menunggu ibu di rumah. Saya sedih sangat sebab tak sempat nak tatap buat kali terakhir," katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Aman lagi, kali terakhir dia bersua muka dengan arwah bapanya yang berusia 67 tahun itu ketika sambutan Aidiladha yang lalu.

"Ketika di hospital, saya pun hanya dapat berdiri di luar sahaja, tak dapat masuk jumpa kerana mengikut prosedur.

"Empat orang je sempat dapat tengok arwah ayah. Malam itu kami dapat tahu jantung arwah ayah dah terhenti," ceritanya yang mengimbas detik ketika arwah ayahnya mengehmbuskan nafas terakhir di Hospital Melaka.

Menurut Aman lagi, dia sendiri tidak pernah tahu bapanya itu mempunyai penyakit jantung sebelum ini.

"Arwah ayah memang ada sakit kencing manis dan pernah kena potong kaki. Ayah saya tak pernah minta suruh bawa ke hospital, tapi Jumaat pagi dia minta kakak bawakan sebab mengalami semput.

"Sampai di hospital, katanya ayah kena serangan jantung yang mana kami sendiri tak pernah tahu mengenai penyakit jantung tu," ceritanya.

Begitupun bekas bintang Akademi Fantasia 2014 berkata, dia reda dengan pemergian ayahnya itu yang selama ini banyak memberikan sokongan kepadanya dalam dunia nyanyian.

"Arwah ayah sentiasa sokong dengan apa yang saya buat. Kalau boleh satu kampung dia nak beritahu," kata pelantun lagu hit Sulit itu.