Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Amanah Ini Besar, Meletup Tak Meletup Itu Rezeki Tuhan" - Amir Ahnaf

Asyraf Roslan
31/10/2024 08:55 MYT
Pelakon, Amir Ahnaf akui agak berat buatnya untuk memainkan watak Kahar dalam filem Kahar:Kapla High Council.

Menurut Amir, ia merupakan satu amanah yang sangat besar kerana watak yang dimainkan olehnya merupakan tumpuan penonton untuk filem tersebut.

Bagaimanapun, pemilik nama Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin,24, menganggap peranan tersebut merupakan satu penghormatan buat dirinya bagi menjayakan filem ini.

“Ia adalah satu amanah yang sangat besar, nama filem itu sendiri nama Kahar kan.

“Seperti yang lain, saya juga tak pernah tahu bagaimana perjalanan hidup Kahar sebelum ini jadi dalam filem ini penonton akan tahu segalanya.

“Jadi ia satu penghormatan untuk saya mendalami watak tersebut, terima kasih untuk semua yang terlibat kerana bukan saya sahaja yang bekerja untuk menghasilkan filem ini,” kata Amir kepada Gempak.

Amir ditemui media selepas sesi sidang media Kahar:Kapla High Council dan Project Universe hujung minggu lepas.

Pada masa sama, pelakon muda ini tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi meskipun dia dan rakan-rakan lain pernah berjaya mencipta satu fenomena menerusi siri Projek: High Council.

Apa yang penting baginya buat masa ini adalah, dia dan pelakon-pelakon lain yag menjayakan filem ini sudah memberikan hasil yang terbaik.

“Fenomena ini adalah satu rezeki.

“Meletup tak meletup itu semua rezeki dan kerja tuhan, apa yang penting saya dan rakan-rakan lain sudah jalankan amanah kami sebagai pelakon sebaik mungkin,” ujarnya.

Selain Amir, filem Kahar:Kapla High Council juga turut dibintangi pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Thomson Goh, Fazziq Muqris, Sky Iskandar, Khenobu dan Fadhli Masoot.

Mendapat sentuhan pengarah Razahisyam Rashid, filem Kahar: Kapla High Council akan menemui penonton pada 28 November 2024.
#Filem #Amir Ahnaf #Kahar:Kapla High Council
;