Tragedi kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, awal pagi tadi menggemparkan penduduk setempat, termasuk seluruh rakyat Malaysia.

Lebih memilukan apabila dimaklumkan tentang jumlah mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.

Jutaan rakyat Malaysia berkongsi rasa pilu di akaun media sosial masing-masing dengan memberi ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Antara yang cukup-cukup menyentuh hati ramai ialah, surat terakhir yang dberi oleh salah seorang mangsa dipercayai terkorban, Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11, kepada ibunya Norhayati Khalid,42, malam tadi.

Foto: Harian Metro

Selain Norhayati, sepasang suami isteri lain turut berkongsi tentang permintaan terakhir anaknya sebaik sahaja mengetahui anaknya juga salah seorang mangsa yang terkorban.

Antara yang sempat dikongsi ibu dan bapa mangsa yang baru berusia 12 tahun itu kepada wartawan lokasi Astro Awani ialah;

"Saya jumpa dia malam tadi dan dia minta diberikan jubah dan serban kerana akan menghadiri majlis tahlil di rumah perdana menteri, dia sangat ceria waktu itu bawa banyak makanan untuk rakan-rakan yang lain.”


Setakat ini seramai 23 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, disahkan terkorban.

Berita sedih itu disampaikan kepada media oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam pada itu Unit Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran.