Susulan kemunculan sulung Johnny Depp di laman TikTok menerima sambutan yang cukup hangat, bekas isteri, Amber Heard tampil dengan respon berbaur sindiran.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Jurucakap Amber menyampaikan mesej yang menyindir kenyataan ‘move forward’ dalam kapsyen kemunculan sulung Johnny di laman TikTok.

“Seperti yang Johnny katakan, dia akan bergerak ke hadapan sedangkan realitinya, ia menolak hak wanita ke belakang.

“Mesej keputusan yang berpihak kepada Johnny buat mangsa keganasan rumah tangga adalah untuk hidup ketakutan dan tidak berhak bersuara selamanya,” tulis kenyataan itu.

Terdahulu, Johnny membuat kemunculan di laman sosial itu dengan sebuah video yang berjaya meraih 7 juta pengikut, serta lebih 11 juta tontonan dalam masa 14 jam.

Pelakon filem Pirates of The Caribbean itu berkongsi video di mana dia dilihat menyapa peminat serta membuat persembahan di atas pentas dengan sebuah gitar di tangan.

Video yang didedikasikan untuk penyokongnya yang sentiasa dihargai, setia dan tidak berbelah bahagi turut dikongsi ke platform Instagram miliknya.

Depp sebelum itu mengesahkan pembukaan akaun media sosial di TikTok dan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokongnya sepanjang perbicaraan kes fitnah menentang Heard.

“Kita telah berjalan di jalan yang sama, bersama-sama. Kita melakukan perkara yang betul bersama-sama semuanya kerana anda mengambil berat mengenai saya.

“Kini kita semua akan bergerak ke hadapan bersama-sama dan seperti biasa, saya hanya mampu mengucapakan terima kasih atas sokongan anda selama ini. Salam sayang dan hormat dari saya, JD,” tulisnya lagi.