Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Amber Heard Rasa Dimalukan Peminat Johnny Depp, Tak Dilayan Seperti Manusia

Maliah Surip
15/06/2022 06:15 MYT
Mantan isteri Johnny Depp, Amber Heard buat pertama kali bercakap tentang kekalahan terhadap saman fitnah dari aktor Pirates of The Carribean itu, baru baru ini.

Heard yang berbicara tentang isi hatinya secara eksklusif bersama Savannah Guthrie menerusi NBC News antaranya mengaku terasa diri tidak dilayan seperti manusia serta dimalukan oleh peminat Depp yang hadir semasa perbicaraan kes mereka berlangsung.

Pelakon Aquaman itu mendakwa bilik mahkamah perbicaraan mereka dipenuhi dengan peminat tegar Depp yang begitu bertenaga, vokal termasuk membawa sepanduk ‘Kematian Untuk Amber’.

“Ini adalah momen paling buruk dan memalukan pernah saya lalui.

“Saya tidak pernah berasa seperti ‘dibuang dari status menjadi manusia’. Saya tak dilayan seperti manusia selayaknya,” dakwa Heard seperti dilaporkan CNN.

Dalam temubual sama, Heard yang juga dibuli teruk melalui pelbagai platform media sosial menegaskan dirinya tidak akan mengalah dan terus bertahan demi memperjuangkan kebenaran.



Tanpa sedikit pun berganjak dengan dakwaan dirinya telah dikasari dan didera secara mental juga fizikal oleh Depp sepanjang perkahwinan, Heard mengaku semua yang dikatakan adalah benar.

“Sehingga nafas terakhir, saya akan mempertahankan setiap dakwaan dan testimoni saya (didera),” tegasnya lagi.

Dia bagaimanapun mengaku menyesal kerana sepanjang hidup bersama Depp, pernah melakukan perkara tak sepatutnya.

“Sikap saya teruk dan hampir tidak mengenali diri sendiri. Saya mempunyai banyak penyesalan,” katanya.

Terdahulu mahkamah mengarahkan mengarahkan Heard membayar ganti rugi kepada Depp sebanyak AS$ 15 juta (kira-kira RM65 juta) selepas kalah dalam saman fitnah selepas aktres tersebut mengeluarkan kenyataan dirinya mengalami penderaan di Washington Post pada 2018.

#Hollywood #saman #Amber Heard #Johnny Depp #Mahkamah
;