Pelakon dan usahawan Ben Ali, 31, mendedahkan dia dan isteri, aktres Nadiyah Shahab mengambil bayaran gaji untuk diri selepas setahun Absolut Brands Sdn. Bhd. ditubuhkan.

Ben atau nama sebenarnya Nur Ali Nadzwan, berkata gaji bulanan mereka tidak tinggi sekadar cukup untuk perbelanjaan tetap.

"Saya dengan Nadiyah ambil gaji bulanan, tapi gaji kami ambil rendah sahaja. Suatu masa tu, ada gaji staff yang lagi tinggi dari gaji kami.

"Kami mula ambil gaji pun lepas setahun buat Sdn Bhd. Sebelum tu langsung tak ambil satu sen pun gaji.

"Bila dah ambil gaji pula, saya cakap saya taknak banyak. Cukup sekadar untuk buat belanja makan, pakaian dan keperluan asas. Kami sengaja praktikkan kehidupan yang sederhana dan tidak melebih-lebih.

"Bila sampai tengah atau hujung bulan, kami juga sesak sama seperti orang lain juga yang makan gaji. Jadi dengan mempraktikkan amalan begini, kami dapat berjimat cermat," tulisnya.

Ben memberitahu perkara itu menerusi akaun Instagramnya sewaktu mengadakan sesi soal jawab di ruangan Insta Stories pada Khamis.



Tegas pelakon drama Seindah Takdir Cinta, kebajikan pekerja lebih diutamakan dengan memastikan bayaran gaji dibayar tepat pada masanya.

Menurutnya, dia sering mengingatkan bahagian Pengurusan Sumber Manusia (HR) untuk segera menyelesaikan pembayaran.

"Yang penting aliran tunai syarikat sentiasa dalam keadaan baik. Dan keutamaan kami sebenarnya adalah untuk memastikan staff-staff kami dapat dibayar gaji dengan baik.

"Saya dan Nadiyah memang tak suka bayar gaji pekerja lambat. Kami selalu ingatkan HR untuk segera uruskan gaji pekerja," tulisnya lagi.

Untuk pengetahuan, Ben mengusahakan perniagaan jenama Absolut Chocolat, Absolut Food Festivaala dan Absolut Management di bawah syarikat Absolut Brands Sdn. Bhd.