Ambil Inspirasi #GMWA, Hafiz Mahamad Sukses Anjurkan Anugerah Ainaa Super 7 - “Ikutkan Cecah Juga La Million…”
Asyikin Mayudin
19/02/2024 11:50 MYT
19/02/2024 11:50 MYT
Lazimnya, penganjuran pentas anugerah berprestij hanya dapat dirasai oleh golongan elit, selebriti atau mereka yang mempunyai nama besar dalam industri masing-masing.
BERITA TRENDING: #GMWA2022 : Hafiz Mahamad Mahu Tunai Janji, 70 Pekerja Bakal Terima Bonus Sebulan Gaji - “Keseluruhan…
Namun buat pertama kalinya, pasangan pengasas serta pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad dan Syafiqah Aina terus memperkasa dan memartabatkan nama usahawan mereka melalui penganjuran Anugerah AINAA Super Seven Awards sempena ulang tahun AINAA ke-7.
Menurut Hafiz, anugerah tersebut diwujudkan selepas dia dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Gempak Most Wanted 2022 pada tahun lepas.
“Alhamdulillah, kami sangat gembira sebab saya tak sangka kita boleh adakan satu anugerah dan berikan suasana itu kepada orang-orang susah tapi rajin berusaha.
“Bagi saya, mungkin mereka ini mampu tengok dekat TV anugerah yang berprestij, suasana macam ini tapi untuk mereka rasai itu mungkin hanya angan-angan.
“Tapi Alhamdulillah, saya wujudkan anugerah ini bagi orang-orang ini rasa. Saya rancangan perkara ini ketika waktu saya memang dua anugerah Influencer,” katanya kepada Gempak.
Enggan menyebut kos keseluruhan yang dikeluarkan oleh pihaknya, Hafiz berkata malam anugerah itu diadakan hanya untuk membuatkan usahawan-usahawannya berasa gembira.
“Untuk kebiasaannya, jumlah itu saya tak kongsikan sebab takut orang punya persepsi lain-lain kan. Tapi Alhamdulillah, ada potion atau bajet kita yang sediakan, untuk usahawan kita gembira.
“Ikutkan cecah juga la million itu. Sebab ada hadiah seperti tunai haji. Tapi kalau untuk acara malam ini saja mungkin cecah ratusan ribu,” ujarnya lagi.
Antara kategori yang dipertandingkan pada malam itu adalahi kategori Usahawan AINAA BBNU, AINAA Best Creator Award, AINAA Super Inspirational Award dan Usahawan AINAA Paling Popular.
Fasa undian telah bermula dari 18 Januari dan berakhir pada 17 Februari 2024.
Penghargaan istimewa buat semua usahawan AINAA yang telah berjaya mencapai hasil jualan tinggi pada tahun 2023 turut berlangsung pada malam itu.
Antara hadiah yang dimenangi oleh usahawan-usahawan ini adalah satu pakej haji, dua buah kereta Perodua Axia, 21 pakej umrah, 3 pakej percutian Maldives serta lebih dari 10 buah iPhone 15 Pro.
Malam kemuncak AINAA Super Seven Awards telah berlangsung di Zepp KL pada 18 Februari 2024 dengan menghimpunkan lebih dari 1500 orang usahawan AINAA dari serata Malaysia.
Majlis anugerah tersebut juga telah menyaksikan persembahan-persembahan hebat dari penyanyi popular Ernie Zakri, ratu rock Ella serta band kegilaan ramai Bunkface.
Turut dijemput hadir ke majlis ini adalah beberapa orang selebriti dan pempengaruh media sosial lain seperti Elfira Loy, Emy Chacha, Muhammad Noor, Akmal Hizzat, Fatin Noraishah, Acap S, Athirah Kamaruzzaman dan ramai lagi.