Penyanyi Khai Bahar akui berdepan cabaran apabila membuat kemunculan sulung sebagai Jai Bakri, pelakon utama drama bersiri Satukan Rasa bersama Siti Nordiana.

Menurut Khai, biarpun membawakan watak sebagai seorang penyanyi tular, sama seperti dirinya di alam nyata, ada beberapa karakter Jai yang sukar untuk ditonjolkan.

“Jai merupakan seorang penyanyi yang ada masalah keresahan dan gementar pentas. Jadi untuk membawakan karakter sebegitu, agak susah.

“Setiap kali berlakon, saya sendiri akan menonton di TV dan cari bahagian mana yang perlu diperbaiki. Memang ada banyak kekurangan, jadi dari situ saya belajar untuk meningkatkan tahap lakonan. Malah, saya pun turut mengambil kelas lakonan bersama Zul Huzaimy.



“Nak jadi pelakon ni memang kena ada banyak jiwa, mendalami sesuatu watak yang diberikan dan kena berikan yang terbaik,” jelas Khai kepada Gempak.

Khai ditemui semasa menjalani penggambaran drama Satukan Rasa bertempat di Star Avenue Lifestyle Mall, Sungai Buloh pada Rabu.

Tambah Khai lagi, dia turut bersyukur apabila menerima maklum balas positif daripada peminat drama tempatan yang mengikuti Satukan Rasa.

“Teguran yang negatif juga banyak dan saya terima. Saya ambil teguran yang membina. Malah, Zul Huzaimy banyak berikan tunjuk ajar untuk saya gilapkan lagi bakat lakonan”, ujarnya lagi.

Selain Khai, drama Satukan Rasa terbitan Suhan Movies ini turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Siti Nordiana, Nine Mike, Yusuf Bahrin, Nina Juren, Nadya Syahera, Isyariana dan ramai lagi.

Diarahkan oleh Hadith Omar, drama rantaian terbaharu ini mengisahkan Indah (Siti Nordiana), seorang balu dan ibu yang pernah menjadi seorang penyanyi terkenal suatu ketika dahulu.

Indah terpaksa masuk semula ke dalam industri muzik tanah air selepas dia dipadankan untuk membantu Jai (Khai Bahar), penyanyi viral yang mempunyai masalah gemuruh di atas pentas.

Jangan lupa saksikan drama Satukan Rasa di slot Megadrama mulai hari ini, 4 November 2019, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).