Hiburan
Ambil Kelas Lakonan, Nabila Razali Ingin Perbaiki & Beri Yang Terbaik
Penyanyi dan pelakon Nabila Razali akui terpaksa mengambil kelas lakonan untuk memantapkan lagi mutu gaya lakonannya.
Jelas Nabila dia mengambil keputusan untuk tidak menghebahkan identiti individu yang terlibat memberi tunjuk ajar kepadanya.
"Terbaharu, saya terlibat dalam penggambaran drama bersiri Seindah Tujuh Warna Pelangi yang akan ditayangkan pada bulan Februari ini.
"Kali ini saya bergandingan dengan Aeril Zafrel dan disebabkan hero-hero yang selalu digandingkan dengan saya semua hebat-hebat belaka, saya memang ada ambil kelas lakonan.
"Cumanya, saya tak berani uar-uarkan saya ambil kelas sebab takut nanti hasilnya tak seperti mana yang orang jangkakan.
"Walau bagaimanapun bila saya buat kerja, saya memang akan bagi sehabis baik dan saya harap orang nampak usaha saya untuk buat lebih baik," katanya kepada Gempak.
Nabila ditemui ketika majlis pelancaran produk penjagaan diri bayi, Mek Kembang Baby yang diadakan di Bites Dessert Bar Kuala Lumpur.
Tambah pelantun lagu Vroom Vroom menyatakan dia tidak mudah melatah sekiranya mendapat komen negatif daripada peminat.
"Saya memang baca semua komen yang diberikan tak kisah sama ada positif atau negatif.
"Yang mana komen negatif itu saya tidak pernah balas dan tidak pernah mudah melatah.
"Kalau mereka kata ada lakonan saya yang tidak sampai pada mana-mana bahagian, saya akan tengok balik dan perbaiki dari situ selain akan bertanya kepada guru lakonan saya," katanya lagi.