Hiburan

Ambil Langkah Segera Betulkan Situasi, Pihak Neelofa Mohon Maaf

gempak
Kamaruddin Razal
28/02/2018
07:53 MYT
Sponsor Banner
Ambil Langkah Segera Betulkan Situasi, Pihak Neelofa Mohon Maaf
Rentetan kontroversi yang timbul selepas pelancaran koleksi terbaru Naelofar Hijab serta sambutan hari lahir di sebuah kelab hiburan, pihak Neelofa mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi.
Pihak Neelofa memohon jutaan maaf atas segala kekeliruan yang terjadi menerusi sebuah kenyataan media.
Kenyataan media permohonan maaf tersebut dibuat oleh Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd, Noor Nabila Mohd Noor yang mewakili Naelofar Hijab.
“Kami memohon jutaan maaf, terutamanya kepada penyokong kuat jenama kami dan juga semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini. Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara yang istimewa untuk jenama kami telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
“Sepanjang majlis malam itu kami telah mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol-botol minuman keras, gelas, serta perkakas diasingkan serta dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis.
“Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup dan merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis tersebut. Kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal. Semua perkakas termasuklah sudu, garfu dan gelas yang digunakan oleh para tetamu juga disediakan oleh katerer tersebut.
“Kami telah mengambil keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini di tempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan dan mereka juga menawarkan ruang yang disewa sebagai ruang acara pada setiap hari Ahad dan Isnin oleh kerana ruang ini tidak dibuka untuk kunjungan umum.
“Sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED, serta sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis ini dan kesemuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan oleh pihak ruang acara.
“Untuk makluman, kami kini telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi ini. Tiada yang lebih penting dari mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
“Kami akan pastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa hadapan dan kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan,” kata Nabila menerusi kenyataan media tersebut.
Neelofa melancarkan koleksi Be Lofa yang terdiri daripada rangkaian selendang dan turban yang terdapat dalam pelbagai warna.
Disebalik kecaman yang diterima, koleksi tersebut telah menerima sambutan positif dan telah habis dijual selepas dua minit pelancaran di laman web Naelofar Hijab.
Teks oleh: Kamaruddin Razal Foto: Instagram Neelofa
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live