FILEM

Ambil Masa 10 Jam Siapkan Assuala, Penerbit Dedah Pelakon Disebalik Iblis Dalam Qodrat 2 - “Penonton Dapat Kenal Pasti Bila…”

Khairil Khusyairi 17/04/2025 | 05:55 MYT
Penerbit Esekutif dan Pengarah Konsep, Chris Lie berkongsi pihak produksi menggunakan sosok iblis baharu iaitu Zhaduq dalam filem seram, Qodrat 2.
Menurut Chris, pasukannya berusaha untuk menampilkan evolusi genre seram Indonesia ke arah penceritaan yang lebih matang dan berkualiti.
“Untuk Qodrat 2 ini kita perlukan syaitan baharu dimana ia dihasilkan ketika adegan di kilang. Syaitan baharu iaitu Zhaduq khusus untuk Qodrat 2.
“Sangat susah. Kami mahu hasilkan satu sosok syaitan baharu di dalam industri filem seram Indonesia sekali gus menaikkan kelas untuk jadi lebih bagus.
“Kedua-dua rekaan termasuk Assuala adalah sosok syaitan yang belum pernah ada lagi di filem Indonesia yang lain,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Penerbit, Linda Gozali, memaklumkan pihak produksi mengambil masa selama 10 jam untuk menyiapkan sosok iblis Assuala.
“Untuk solekan ia mengambil masa selama 10 jam. Kami mengabungkan solekan yang praktikal terutama untuk kesan khas.
“Perancangannya kami memang perlu hasilkan ia sebuah sosok yang nyata, kami sangat teliti dari mula sampai akhir agar ia nampak benar-benar seram.
“Kalau siap solekan tersebut, pelakon tak boleh makan tetapi hanya minum melalui straw saja. Kalau ada pergerakan ia akan beri kesan pada solekan tersebut,” kongsi Linda.
Dedah Linda, sosok iblis Assuala itu dilakonkan pelakon terkenal, Teuku Rifnu Wikana.
Linda turut memuji lakonan dan komitmen Teuku Rifnu yang hanya menyumbang suara dan wajahnya tidak didedahkan.
“Dedikasi Teuku Rifnu Wikana itu benar-benar menyediakan dirinya. Bila disolek, dia langsung tidak kelihatan seperti Teuku Rifnu.
“Penonton hanya dapat kenal pasti bila dia bersuara kerana Teuku Rifnu mempunyai suara yang unik. Suaranya juga ditingkatkan lagi dengan bantuan dua hingga tiga pelakon suara lain.
“Bila dia jadi Assuala, orang di set serba salah untuk menganggunya, tak boleh ketawa. 10 jam hanya untuk solekan dan 6 hingga7 jam untuk buang semula,” kongsinya.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
#Filem #Syaitan #Qodrat #Assuala #Zhaduq