Ambil Segera! Pasport Yang Tak Dituntut Akan Batal Dalam Tempoh …
Awani
24/07/2022 18:10 MYT
24/07/2022 18:10 MYT
Rakyat Malaysia yang telah memperbaharui pasport antarabangsa dikehendaki mengambilnya dengan kadar segera.
Pasport yang tidak dituntut dalam tempoh 90 hari akan terbatal secara automatik.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas tempoh itu, individu berkenaan perlu membuat permohonan semula dengan pembayaran penuh.
"Apabila orang dah buat pasport, itu merupakan suatu tanggungjawab kepada individu itu sendiri.
“Tak kan kita nak mencari dia. Masalahnya, kadang-kadang ada masalah tertentu menyebabkan mereka tidak datang ambil," katanya.
Beliau ditemui selepas menutup program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Perak, pada Ahad.
Difahamkan setakat ini, lebih 2,600 pasport yang telah diperbaharui masih belum dituntut.
Mereka yang berhasrat untuk memiliki dokumen tersebut perlu membuat permohonan baharu dengan kadar bayaran RM200 bagi tempoh lima tahun.