HIBURAN
"Ambillah Masa, Menangislah Kalau Perlu" - Khai Bahar
Tidak semua perjalanan hidup dihiasi bahagia. Ada kalanya, kita rebah tanpa suara. Lalu datang sebuah lagu yang mengingatkan kita bahawa tidak mengapa untuk berhenti seketika, bersandar dan menangis.
Itulah yang dibawakan oleh Khai Bahar menerusi single terbaharunya 'Beri Sedikit Waktu', ciptaan sepenuh jiwa oleh Adi Pawana dan Rudy Nastia, dan diterbitkan oleh syarikat rakaman terulung, Sony Music Malaysia.
Sebuah lagu balada yang bukan hanya mendakap emosi pendengar, tetapi turut menyuarakan sesuatu yang sering kita simpan dalam diam pergelutan dalaman yang perlukan ruang dan masa untuk reda.
“Saya terima lagu ini sebaik sahaja mendengarnya. Tanpa ragu. Tanpa fikir panjang. Lagu ini benar-benar menyentuh hati saya kerana ia sangat ‘kena’ dengan fasa yang saya lalui... kehilangan ibu tersayang bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya percaya semua orang pernah rasa tertekan, tapi tidak tahu macam mana hendak luahkannya. Lagu ini memberi ruang itu – ruang untuk menangis, untuk melepaskan dan untuk akhirnya menerima bahawa kita tidak perlu sentiasa kelihatan kuat,” katanya.

'Beri Sedikit Waktu' mengetengahkan mesej empati, penerimaan dan penyembuhan dalaman. Lagu ini mengajak pendengar untuk tidak menyimpan kesedihan jauh di dalam hati atau berpura-pura kuat, sebaliknya membenarkan diri untuk merasa dan sembuh mengikut waktu masing-masing.
Dari segi genre, lagu ini tampil sebagai sebuah balada healing dengan susunan muzik minimalis, vokal bersahaja dan lirik yang menyentuh perasaan.
“Saya nyanyikan lagu ini dengan cara paling jujur. Tidak terlalu teknikal dan tersusun. Saya cuma hendak sampaikan rasa. Saya percaya, rasa itu pasti sampai kalau datang dari hati.
“Saya beberapa kali kena berhenti kerana terlalu sebak. Tapi saya tahu, saya perlu rakam lagu ini. Sebab saya yakin, ramai orang yang perlukan lagu seperti ini,” tambah Khai.
Rakaman dijalankan di Mixbro Records, Cybersouth, hanya dalam masa dua jam.
Video muzik rasmi lagu ini turut membawa mesej mendalam, bahawa kesedihan bukanlah penghujung jalan, dan pasti ada cahaya di hujung terowong.
“MV ini melambangkan perjalanan seseorang dari kegelapan emosi ke satu titik kesedaran bahawa hidup perlu diteruskan. Tidak ada masalah yang kekal, cuma perlu sedikit waktu untuk pulih dan bangun semula," tambahnya.

Bagi Khai, lagu ini bukan sekadar penghormatan buat ibunya, tetapi juga hadiah untuk semua yang pernah merasai kehilangan sama ada insan tersayang, harapan mahupun semangat diri.
“Saya tahu ramai yang sedang berjuang secara senyap, lagu ini untuk mereka. Kalau lagu ini mampu memberikan sedikit rasa lega, rasa didengari dan difahami... itu sudah lebih dari cukup buat saya.
"Tidak semua orang boleh terus bangun selepas jatuh. Dan saya hendak lagu ini menjadi satu pelukan buat mereka semua. Ambillah masa. Menangislah kalau perlu. Tapi percayalah, kamu akan baik semula,” getus Khai lagi.
“Beri Sedikit Waktu” kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Manakala MV rasmi boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi sonymusicMYVEVO.