Kisah mengenai restoran kotor dan menjijikkan antara insiden yang masih kerap berlaku biarpun banyak kali diserbu oleh pihak berkuasa.

Terbaru, sepotong rakaman video dimuat naik oleh seorang individu dikenali sebagai Man Issac telah menimbulkan kekecohan terutama pada mereka yang sering makan di restoran nasi kandar.

Menerusi video berdurasi 1.12 minit itu, seekor tikus kelihatan berada di bahagian hidangan makanan.

Tambah meloyakan, tikus itu turut 'menjamah' makanan yang diletakkan di ruang tersebut.

Video itu sekali gus membuatkan ramai netizen 'kembang tekak'.

Menerusi ruang komen, kebanyakan mereka bimbang sekiranya perkara tersebut mendatangkan virus yang membawa penyakit.

Untuk makluman, kejadian tersebut berlaku di sebuah restoran yang terletak di Bandar Tun Razak.

Difahamkan, restoran itu telah pun diarahkan tutup bermula hari ini.