Seiring dengan keadaan negara yang sedang menuju ke arah pasca pandemik, penganjuran Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME 2021) pada tahun ini juga bakal dijayakan mengikut peraturan dan norma baharu.

Selain patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan, beberapa elemen lain turut disuntik termasuklah pengenalan tiga kategori baharu.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, meskipun kerancakan aktiviti seni dan acara hiburan mungkin tidak lagi meriah seperti sebelumnya, namun ia tidak menggugat usaha pihak Astro untuk beradaptasi secara inovatif agar dapat terus membekalkan kandungan berkualiti sekaligus bergerak ke hadapan demi kelangsungan industri.

“Bagi memberi kelainan serta menambah baik AME 2021, tiga kategori baharu diperkenalkan iaitu Personaliti TV MeleTOP, BBNU MeleTOP dan Video MeleTOP. Ketiga-tiga kategori ini diwujudkan atas dasar relevannya setiap selebriti yang tercalon sepanjang musim pandemik.

“Seperti yang kita dapat lihat, fenomena kebangkitan generasi BBNU dan pempengaruh semakin menguasai industri hiburan sehingga mampu meraih populariti luar biasa.

"Persaingan sengit untuk menempatkan diri dalam bidang seni juga secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kualiti golongan artis sedia ada yang berusaha keras menunjukkan kepelbagaian bakat seni supaya kekal bertahan,” ujar Raqim menerusi sidang media virtual pengumuman senarai calon Top 20 AME 2021 yang berlangsung sebentar tadi.



Bagaimanapun, terdapat dua kategori lama telah digugurkan daripada senarai iaitu Hos MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Mengulas mengenai kehadiran penonton pada acara kemuncak, Raqim berkata, pihak Astro ingin membuka peluang kepada peminat untuk menghadiri AME 2021 mengikut SOP yang telah ditetapkan untuk industri kreatif.

“Bagaimanapun, segalanya tertakluk pada situasi semasa atau sebarang arahan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan kelak,” katanya.

Membawa tagline Yang Fresh, Yang Legend, 16 kategori utama yang dipertandingkan termasuklah Lagu MeleTOP ERA, Penyanyi MeleTOP ERA, Grup/Duo MeleTOP ERA, Si Cilik MeleTOP, Filem MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, Drama MeleTOP, Pelakon MeleTOP, Video MeleTOP, Artis Versatil MeleTOP, Personaliti TV MeleTOP, Influencer MeleTOP, Artis Baharu MeleTOP, Couple MeleTOP, BBNU MeleTOP dan Program MeleTOP.

Selain itu, turut dipertandingkan tiga kategori kemuncak yang ditentukan berdasarkan jumlah undian tertinggi di kalangan calon ‘Top 5’ untuk kesemua kategori utama iaitu Top Top MeleTOP Lelaki, Top Top MeleTOP Wanita dan Top Top MeleTOP Grup/Duo.

Penganjuran AME 2021 diaktifkan oleh 100PLUS selaku Penaja Utama. Dua buah kategori utama yang turut dipertandingkan iaitu Influencer MeleTOP dan Artis Versatil MeleTOP dibawakan oleh 100PLUS.

Undian fasa pertama untuk memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6.00 petang hingga 19 November 2021, jam 6.00 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK.

Diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Musa, AME 2021 dijadualkan berlangsung pada 30 Januari 2022, pukul 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.