Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Amelia Henderson Gembira Ditemani Orang Tersayang, Aedy Ashraf Ke Mahkamah - "So Saya Menang!"

Syafiqah Jalal 08/04/2023 | 09:41 MYT
Pelakon Amelia Henderson, 27, gembira apabila ditemani orang tersayang sewaktu mendengar keputusan kes saman berhubung perlanggaran kontrak terhadap penerbit Datuk A Aida, 53, di Mahkamah Sivil, Kuala Lumpur semalam.
Amelia dilihat bersama ibu dan adik lelakinya serta kekasihnya, Aedy Asharf memasuki perkarangan mahkamah semalam.
Kata Amelia meskipun keputusan tidak memihak kepadanya dan dia diarahkan untuk membayar lebih RM200,000 kepada A. Aida namun secara peribadi dia berasa 'menang' ditemani orang tersayang.
"Saya sangat bangga dengan diri saya kerana saya rasa saya buat perkara yang betul. Tapi pada masa sama perasaan itu juga yang bagi saya kekuatan untuk membuat rayuan.
"Hari ini saya rasa sangat gembira sebab secara peribadi saya terharu pada masa paling saya memerlukan...semua orang yang saya sayang hadir untuk saya, so saya menang," katanya dengan nada sebak dan air matanya mula bertakung.
Semalam, A Aida mengalirkan air mata selepas Mahkamah Sesyen Sivil mengarahkan Amelia membayar lebih RM200,000 sebagai ganti rugi.
Peguam mewakili A Aida, Ashmadi Othman berkata, jumlah bayaran itu termasuk bayaran pendahuluan yang diterima sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta ganti rugi kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.
Terdahulu Amelia dan seorang lagi pelakon, Idris Khan berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian drama Sekali Lagi Cinta Kembali seperti yang sudah ditandatangani.
A Aida bersama pengarah drama, Rizal Baharuddin dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.
#Aedy Ashraf #Mahkamah #Amelia Henderson #Gembira #Tersayang
;