Hiburan
Amelina ‘Mengamuk’ Di Set Penggambaran Muzik Video
Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Ratu Dangdut, Amelina ‘mengamuk’ di set penggambaran muzik video lagu Cinta Harus Seksi.
Namun begitu, jangan salah faham kerana ‘mengamuk’ yang dimaksudkan bukanlah berkenaan dengan pergaduhan atau bertikam lidah di lokasi penggambaran, tetapi ‘mengamuk’ itu lebih merujuk kepada perasaan Amelina sendiri.
“Setelah hampir 15 tahun tidak terlibat dengan penggambaran muzik video, saya kembali ke set dan menjalani proses tersebut.
“Muzik video lagu Cinta Harus Seksi memerlukan saya untuk menari dan berinteraksi dengan kamera dengan lincah.
“Saya akui, saya ‘mengamuk’ dengan diri sendiri. Perasaan itu datang dan berperang dalam diri saya kerana saya rasa agak kekok dengan suasana sebegitu kerana sudah lama berehat.
“Namun begitu, perasaan itu pudar setelah saya mendapat tunjuk ajar pengarah dan tenaga produksi. Alhamdulillah, akhirnya penggambaran muzik video tersebut dipermudahkan dan semuanya berjalan lancar,” kata Amelina kepada Astro Gempak.
Melancarkan muzik video terbarunya, Amelina menjelaskan yang penggambaran telah dijalankan sepenuhnya di Jakarta, Indonesia.
“Muzik video ini dirakamkan sepenuhnya di Jakarta dan mendapat sentuhan Julian Kubik sebagai produser dan BNDLT sebagai pengarah. Saya berharap agar muzik video ini diterima oleh peminat di luar sana dan menjadi hadiah tanda terima kasih saya terhadap peminat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terbaru, Amelina bakal merakamkan single terbaru yang berjudul Rambut tidak lama lagi.
Kredit foto: Media Hiburan
Must-Watch Video