Amelina Penuh 'Drama'? Cuba Raih Simpati? Ini Jawapan Tuan Punya Badan...

Kamaruddin Razal
November 1, 2018 08:28 MYT
Memberikan usaha 200 peratus untuk program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5), penyanyi yang sinonim dengan gelaran Ratu Dangdut, Amelina, 44, menyahut cabaran untuk membuktikan kemampuan dirinya.
Tidak hanya berpaksi dengan irama dangdut semata-mata, pemilik nama penuh Norazlina Amir Sharipuddin ini menyerlahkan kebolehannya menyampaikan lagu dari pelbagai genre.
Melalui beberapa kesukaran seperti kehilangan suara dan sebagainya, ada pihak yang menimbulkan dakwaan kehidupan ibu tunggal kepada enam anak ini penuh dengan 'drama' dan cuba untuk meraih simpati.
Menjawab tuduhan terbabit, pelantun lagu Semakin Rindu Semakin Asyik ini enggan melatah.
"Apa yang anda lihat di kaca televisyen, itulah saya. Saya hanya menjadi diri sendiri. Apa gunanya berdrama atau meraih simpati kerana dalam program ini, saya dinilai juri profesional menerusi aspek persembahan yang ditonjolkan saban minggu, bukannya dari segi drama atau simpati.
"Saya hanya menonjolkan kemampuan yang ada, menjadi diri sendiri dan memberikan yang terbaik untuk peminat yang tidak pernah penat menyokong. Orang hanya boleh bercakap dan pandai menuduh tetapi mereka sendiri tidak pernah berada dalam situasi yang saya hadapi," kata Amelina.
Terus berusaha gigih untuk menyemarakkan kembali perjalanan seninya, Amelina sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk mengubati kerinduan peminat.
"Saya bakal muncul dengan single dangdut yang memang menjadi permintaan peminat. Namun begitu, saya juga bakal menghadiahkan peminat dengan single dalam genre lain.
"Sama ada single dalam genre balada, pop atau rock, peminat harus menantikannya. Semuanya masih berada dalam fasa perbincangan bersama pihak pengurusan," katanya lagi.
Bersiaran selama lapan minggu, GV5 ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.
#Amelina #GV5