Penyanyi Amir Hasan tidak pernah ambil hati dengan kritikan negatif yang diberikan netizen terhadapnya.

Menurut peserta Bigstage 2020 ini, dia kerap membaca komen negatif dari netizen, tetapi memilih untuk bersikap tenang sahaja.

"Sebenarnya, saya okay saja apabila membaca komen-komen negatif dari netizen terhadap saya.

"Saya jenis yang boleh menerima perkara sebegitu. Ada juga yang pernah mengaitkan nama arwah bapa saya, saya baca sahaja dan cuba untuk bersikap positif," katanya kepada Gempak.

Tambah Amir, dia sudah lama bersedia untuk menerima kritikan sejak awal kemunculannya dalam industri seni.

"Sejak dari mula bergelar artis, saya sudah set dalam fikiran dan bersedia untuk menerima sebarang kecaman, itu adalah lumrah dunia seni," tambahnya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Amir kini tampil dengan single terbaru berjudul iShy.

Video muzik rasmi iShy telahpun ditayangkan di saluran YouTube Warner Music Malaysia sejak seminggu lalu. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!