Penyanyi Amir Masdi mengakui selesa berambut panjang, dan mungkin akan mengekalkan imej tersebut.

“Ada yang tegur kerana ada perubahan ketara dan nampak lebih rock. Mungkin sebab penampilan dan rambut. Ini akan menjadi imej tetap saya dan saya selesa dengan imej ini. Ramai yang bersetuju juga.

“Malah, secara peribadi saya melihat imej ini paling sesuai untuk saya. Pada masa akan datang, tak pasti lagi. Kalau jumpa idea baru, mungkin ia akan bertukar. Tapi untuk sekarang saya akan kekal dengan imej ini. Saya okay dan gembira,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi yang popular menerusi lagu ‘Puas’, ‘Kau Sakiti’ dan ‘Asmara’ itu, kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Esok’.

Lagu bergenre modern rock tersebut merupakan hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri, terbitan Nova Music.

“Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat.

“Sebab sekarang semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.

“Jadi, menerusi lirik lagu ini saya nak pujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis liriknya.

“Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaharu.

“Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih ‘up beat’. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan lagu Esok dulu,” katanya.

Amir juga mengakui, pembabitannya pada pentas AJL 35 berjaya menonjolkan bakat nyanyian dimiliki.

“Bagi saya AJL membuatkan saya dapat peminat baru. Sejak itu juga, orang sudah mula mahu lebih mengenali siapa itu Amir Masdi.

“Diakui sejak dari dulu lagi saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya. Saya tanam diri tekad untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.

“Saya perlu terus berusaha dan tingkatkan lagi pencapaian di masa hadapan. Walaupun sudah masuk AJL, kalau boleh selepas ini saya berazam nak menang pula.

“Dalam masa sama, saya mahu sentiasa ada peningkatan dalam kerjaya agar terus bertahan dalam industri. Disebabkan itu, saya akan terus berusaha dan memajukan diri,” katanya positif.

Lagu ‘Esok’ sudah boleh distrim di semua platform muzik digital bermula 27 Ogos (hari ini), serentak dengan pelancarannya.