HIBURAN

Amir Raja Lawak Terpaksa Jual Kereta Kesayangan Demi Kelangsungan Hidup - “Dengan Kereta Inilah, Saya Pergi Berniaga Air”

Ainun Md Zooki 12/07/2025 | 12:55 MYT
Pelawak, Amir Raja Lawak meluahkan rasa sedih apabila terpaksa menjual kereta kesayangannya demi mendapatkan wang tunai dengan segera.

Menerusi perkongsian gambar di Instagram, Amir atau nama nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi memaklumkan dia dia terpaksa melepaskan aset miliknya iaitu sebuah kereta jenama Proton Juara demi meneruskan kelangsungan hidup.

Dia terpaksa bertindak demikian kerana masih belum menerima bayaran daripada sebuah stesen televisyen tempatan.

“Sedih tu ada lah terasa, sebab kereta ini walaupun sekejap dengan saya, tapi banyak kenangan dan berjasa juga.

“Kereta ini juga ikut saya berniaga. Merata kami bersama ke negeri seperti Johor dan Perak, pergi berniaga air di tepi jalan.

“Rancangnya nak buat cantik-cantik, nak pergi ‘camping’ tapi tak kesampaian.

“Ada benda lagi mustahak untuk saya buat dan terpaksa cairkan satu aset ini. Selamat jalan, Proton Juaraku,” tulisnya.

Dalam pada itu, bekas peserta program realiti Raja Lawak ini turut mendakwa dia masih lagi belum menerima bayaran berjumlah RM18,000 daripada stesen berkenaan.

Terdahulu, Amir memuat naik hantaran mendakwa bayarannya bersama sebuah stesen televisyen masih tertunggak.

Dakwa Amir, dia hanya menerima sebahagian bayaran iaitu RM5,000 daripada jumlah keseluruhan yang mencecah RM23,000.

#Amir Raja Lawak #Kereta #Jual