Vokalis kumpulan U.K’s, Amir memberi cadangan supaya satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi mengelola tarikh-tarikh konsert artis tempatan bagi mengelakkan sebarang bertembungan berlaku pada masa akan datang.

Amir berkata, hal ini perlu memandangkan industri hiburan di Malaysia merupakan sebuah industri yang sangat kecil.

“Pada pendapat saya, sudah tiba masanya untuk sebuah jawatankuasa diwujudkan bagi mengatur dan menyelia tarikh-tarikh konsert di Malaysia. Jadi, tidak berlaku sebarang pertembungan tarikh konsert pada masa depan.

“Tarikh bertindih satu hal, harga tiket sekarang pun boleh tahan. Nanti susah kami mahu cari makan. Jika saya berada di tempat peminat pun saya akan jadi pening sebab tak tahu nak tengok mana satu.

“Dari sudut itu, kita tahu penjualan tiket akan terjejas. Sebab apa pun, ia tetap bisnes dan setiap apa yang kita lakukan mesti kena ada keuntungan,” katanya kepada Gempak mengulas mengenai pertembungan tarikh konsert yang artis-artis tanah air selepas masing-masing mengumumkan penganjuran persembahan berskala besar baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, Amir berkata, dia tidak boleh menghalang pilihan peminat memandangkan kuasa pembeli terletak pada selera muzik masing-masing.

“Saya tidak boleh nak kata penjualan tiket kami memberansangkan, tetapi masih lagi berjalan. Sekurang-kurangnya, setiap hari ada peminat yang bertanya dan membeli.

“Jika peminat nak beli tiket konsert artis lain, kami tak halang. Itu rezeki mereka dan saya tetapi saya percaya rezeki kami tetap ada,” katanya lagi.

Terdahulu, hangat diperkatakan di alam maya mengenai isu pertembungan tarikh konsert oleh penyanyi tempatan yang mula mengadakan konsert selepas negara kini berada dalam fasa peralihan endemik.

Kumpulan U.K’s akan menghiburkan peminat setia mereka menerusi penganjuran Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun.

Pada malam berkenaan, U.K’s akan menyampaikan sebanyak 25 buah lagu hit mereka sepanjang dua jam persembahan berlangsung.

Tiket konsert yang dianjurkan oleh Mac Training Centre Sdn. Bhd. bersama RCD Concepts Sdn. Bhd. tersebut dijual pada harga bermula RM111 hingga RM999 dan boleh didapati menerusi laman sesawang http://ilassptickets.com.