HIBURAN
Amir Ukays Lapor Polis, Kecewa Jadi Mangsa Penipuan Haji
Penyanyi legenda tanah air, Amir Ukays meluahkan nada kecewa selepas didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang memberikan penajaan bagi menunaikan ibadah haji.
Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 56, mengakui agak terkilan selepas penantian yang sekian lama menunaikan ibadah itu berakhir dengan kedukaan.
Namun jelasnya, apakan daya semuanya terkubur selepas ditipu pihak berkenaan, bagaimanapun dia reda dengan ujian yang menimpa diri dan isterinya, Sarimah Ahmad, 51.
Penyanyi yang popular menerusi lagu 'Di sana Menanti Di Sini Menunggu' itu sepatutnya berlepas ke tanah suci pada 1 Jun lalu bersama 77 jemaah lain kini menyerahkan kepada pihak berkuasa berhubung perkara berkenaan.
Pada masa sama kes penipuan ini sudah berada dalam radar penyiasatan pihak berkuasa selepas laporan dibuat jemaah.
"Sepatutnya saya terbang terus ke Jeddah melalui Singapore Airlines pada Ahad lalu bersama isteri dan jemaah lain untuk menunaikan haji selepas ditaja sebuah syarikat.
"Bagaimanapun sehingga saat ini saya belum lagi berangkat ke tanah suci selepas difahamkan visa penerbangan itu tidak diluluskan.
"Sekarang sudah jadi kes polis mengenai perkara ini, lagipun saya juga akan membuat laporan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Biar polis yang siasat perkara itu secara lebih terperinci agar kita dapat mengetahui puncanya, tapi sejujurnya saya meletakkan harapan yang tinggi untuk pergi menunaikan rukun Islam yang kelima itu selepas semua persiapan dibuat," kata Amir sebak ketika dihubungi.
Terdahulu Amir bersyukur selepas penantiannya untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya bakal tertunai selepas mendapat tajaan daripada sebuah syarikat.
Amir yang pernah mengeluarkan enam album dengan 60 buah lagu akui hampir mengalir air mata selepas namanya bersama isteri tersenarai dalam ribuan jemaah yang memohon untuk ke tanah suci.
Sumber: Harian Metro