Hiburan
"Ampunkan Salah Silap Allahyarham" - Abang Misha Omar Meninggal Dunia
Penyanyi popular Misha Omar memaklumkan abangnya, Ahmad Shafuan Abd Rahman telah meninggal dunia pada tengahari Rabu.
Menurut Misha, Allahyarham adalah abang daripada ibu yang sama dan berlainan bapa.
"Dengan penuh rasa dukacita, saya mewakili keluarga ingin memaklumkan bahawa abang saya (seibu berlainan bapa), Ahmad Shafuan Bin Abd Rahman telah kembali ke rahmatullah menjelang tengahari Rabu di Hospital Seremban, dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Ar-raudhah, Kota Seri Emas lewat petang hari yang sama," tulis Misha menerusi Instagram.
Dalam pada itu, Misha turut memohon teman-teman yang mengenali abangnya untuk mengampunkan segala kesalahan dan menghalalkan makan minum Allahyarham.
"Andai ada teman-teman Kak Mitch yang mengenali Allahyarham Abang Wan, saya mohon ampunkan salah silap abang saya, halalkan makan minumnya sepanjang kalian bersilaturahim di sepanjang hayatnya.
"Doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan segala amalan baik Allahyarham diterima di sisi Allah SWT," tulisnya lagi.
Misha juga mendoakan agar waris dan keluarga yang ditinggalkan Allahyarham diberikan ketabahan untuk menghadapi kehilangan itu.
"Doakanlah juga, waris yang ditinggalkan Allahyarham, Shazwan Hazique, Syakirin & Shaukie, serta balunya, Mala Rotina diberikan ketabahan berdepan kenyataan yang menyakitkan ini, kehilangan insan tersayang, Al-Fatihah," tulisnya mengakhiri kapsyen.
Menjengah ruangan komen entri berkenaan, rata-rata pengikut Misha mengucapkan takziah dan membacakan Al-Fatihah buat Allahyarham.
Difahamkan, Allahyarham telah melepaskan jawatan dalam kerjanya dua tahun lalu akibat mengalami kemerosotan kesihatan.
Salam takziah dari Gempak, Al-Fatihah.
Must-Watch Video