VIRAL

Amuk Dicurangi, Suami Potong Kemaluan 'Skandal' Isteri

Gempak 22/04/2025 | 19:55 MYT

Seorang suami di daerah Agar Malwa, Madhya Pradesh bertindak kejam dengan memotong kemaluan seorang lelaki yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya, sebelum berjalan beberapa kilometer ke balai polis sambil membawa organ yang telah dikerat itu.

Menurut pihak polis, kejadian berlaku di kampung Nath Dehriya, apabila mangsa, Ishwar Singh Sisodiya, 35, diserang secara kejam oleh Kalu Singh Sondhiya, 37, suami kepada wanita terbabit, bersama beberapa individu lain.

Siasatan awal mendapati Ishwar dan isteri Kalu Singh, Vilambabai, 35, telah menjalinkan hubungan sulit sejak dua tahun lalu.

Enam bulan lalu, isu itu pernah dibawa ke perhatian pihak kampung dan satu persetujuan dicapai agar hubungan itu dihentikan serta-merta. Namun, Ishwar didakwa masih terus berjumpa wanita itu secara rahsia.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Kalu Singh bersama adik iparnya, Sardar Singh dari kampung Piplia Nankar, dan empat lagi rakan Kripalsingh, Lalsingh, Darbarsingh, serta seorang lagi bernama Kalusingh dari kampung Nana Deheriya didakwa menyerang Ishwar secara berkumpulan sebelum memotong kemaluannya hingga menyebabkan pendarahan serius.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Susner untuk rawatan kecemasan dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Selepas kejadian, Kalu Singh dilaporkan berjalan ke Balai Polis Barod sambil membawa kemaluan mangsa dalam tangannya dan menyerah diri sambil mengaku melakukan serangan tersebut.

Menurut Timbalan Pegawai Polis Sub-Daerah (SDOP), Motilal Kushwaha, laporan telah didaftarkan terhadap enam suspek.

“Kalu Singh telah ditahan manakala lima yang lain masih diburu pihak polis. Operasi mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

Pihak polis kini sedang menyoal siasat penduduk kampung serta ahli keluarga kedua-dua pihak bagi memahami keseluruhan latar belakang kes. Suasana di kampung dilaporkan terkawal namun pemantauan rapi sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Sumber: Sinar Harian
#Suami #Isteri #Skandal #Kemaluan Dipotong