HIBURAN
"Amy, Kau Ceritalah Benda Sebenar" - Awie
Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie meluahkan rasa kecewa dan tertekan apabila terus dikaitkan dengan kontroversi yang dipercayai melibatkan figura legenda muzik tanah air, Datuk Amy Search.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman memohon agar Amy tampil menjelaskan perkara sebenar berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan, demi membersihkan namanya yang turut terheret sama.
Awie turut mendakwa dirinya kini berdepan tekanan emosi dan mental akibat terpaksa menjawab pelbagai dakwaan serta spekulasi daripada netizen yang dianggapnya tidak berasas.
“Amy Search, kau ceritalah benda yang sebenar. Habis semua orang sibuk salahkan aku! Ambillah tanggungjawab dan jelaskan perkara yang sebenar.
“Penat dan sesak dada aku nak baca dan jawab isu yang berpunca daripada kau,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi terkenal Shila Amzah yang mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda semasa sesi latihan konsert baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, laporan dibuat oleh Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah pada 10 Julai lalu, kira-kira jam 5.31 petang di Balai Polis Dang Wangi.
Bagaimanapun, Awie tidak memperincikan isu sebenar yang menjadi punca ketidakpuasan hatinya terhadap Amy Search.
Must-Watch Video