Setiap individu yang telah berkeluarga pasti mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan rumah tangga, khususnya mereka yang telah mempunyai anak.

Bagi pelakon popular, Diana Danielle, dia tidak melihat satu keperluan untuk menambah bilangan cahaya mata sungguhpun anak keduanya, Nur Aurora kini telah menginjak usia 6 tahun.

A post shared by Diana Danielle (@dianadanielleb)


“Anak dah besar tambah la lagi sorang - ya betul anak yang kedua pun dah 6 tahun, tapi bagi saya ini adalah usia mereka memerlukan bimbingan dan input setiap masa sebelum melangkah ke fasa remaja.

“Nampak saja ‘besar’ tapi masih nak pelukan, nak manja, nak kita explore dan explain soalan-soalan yang makin rumit, makin ‘deep’,” tulisnya di Instagramnya.

Pelakon filem Magika itu turut menambah, dalam fasa ini juga anak-anak semakin mempunyai rasa ingin tahu selain keinginan untuk berkawan dan mengenali dunia luar.

“Curiosity mencanak, personaliti makin terbentuk, makin pandai counter point kita, makin nak berkawan dan mengenali dunia luar. Saya tak nampak itu sebab untuk tambah dan tambah. Seorang pun dah amanah seumur hidup.

“Jadi kita ikut pada kemampuan yang bukan hanya dari segi duit tapi mental, emosi dan masa. Masa yang betul akan tiba jika dan bila kita rasa ia perlu berlaku. Para ibu yang bekerja lagilah fikir lebih. Tak nak baby baru membesar dengan orang gaji, dengan cikgu taska saja.

“Itu bukan sebab kita mahukan cahaya mata. Saya mahu menjadi ibu dan saya mahu jadi pembimbing dan tempat rujukan mereka. Till now - I've got a lot more parenting to do. Even with myself,” katanya.

Menerusi ruangan komen, banyak respons yang diterima oleh Diana, termasuk komen-komen daripada rakan-rakan artis.

Pelakon Amyra Rosli dan Hanis Zalikha bersetuju seratus peratus dengan luahan yang dibuat oleh Diana sementara Ramona Zam Zam pula menyatakan anak-anak adalah manusia, dan bukannya anak patung.

“Setuju sangat. Ia komitmen sepanjang masa, kita membesarkan manusia bukan anak patung,” ujar Ramona.

Diana mendirikan rumah tangga bersama pelakon Farid Kamil pada 2012. Selain Aurora, pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata sulung Muhammad yang kini berusia 9 tahun.