Program realiti The House musim keenam yang menampilkan bekas peragawati, Ezurin Khyra bersama lima anaknya, Tunku Amaan Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Omaan Khyra, Tunku Imaan Khyra dan Tunku Rmaan Khyra, serta rakan baik Ezurin, Magie Abang Saufi akan memasuki episod kelapan minggu ini.

Semakin menghampiri penghujung, sudah pasti lebih banyak kejutan dan perkara yang tidak diduga menanti anda dalam program ini.

Dalam episod ketujuh minggu lalu, anda telah menyaksikan Ezurin keluar berkenalan dengan dua lelaki di mana salah seorangnya merupakan duda yang memiliki lima cahaya mata, seorang lagi bujang teruna.

Perkara itu diketahui oleh anak beliau, Tunku Amaan yang tidak menyukai ibunya keluar berkenalan dengan lelaki baru dalam hidupnya.

Sebelum ini, ibu Ezurin, Zelly Ariffin pernah mengatakan anaknya itu masih belum bersedia untuk mencari pengganti selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, manakala dua rakan rapat Ezurin, Sharifah Haslinda dan Anna Ayuda pula mencadangkan Ezurin untuk berkenalan dengan seorang calon pengganti.

Dalam episod minggu ini, Ezurin akan keluar ke bandar untuk bertemu teman rapatnya yang lain. Apakah tujuan Ezurin bertemu rakannya itu? Adakah tujuan perjumpaan itu sekadar bertemu dan bertanya khabar sahaja?

Memandangkan anak Ezurin menentang perkenalannya dengan lelaki baru, adakah beliau akan mendapatkan sokongan dari rakan-rakannya itu? Selain Magie, adakah Ezurin akan turut menceritakan tentang pertemuannya dengan dua lelaki baru-baru ini kepada rakan-rakan yang lain?

Bagi Ezurin, keluar dating tidak salah kerana tidak semestinya lelaki yang baru dikenali itu akan terus menjadi pilihan sebagai pengganti pasangan hidup.

The House Ezurin Khyra bersiaran selama 10 episod menerusi Astro Ria (124) dan Ria HD (104) setiap Rabu, pukul 9 malam.

Kepada yang terlepas menyaksikannya, jangan risau kerana anda boleh menyaksikan ulangan menerusi On Demand atau tonton sahaja pada bila-bila masa di aplikasi Astro Go.

Gempak sebagai portal rasmi pula akan membawakan video-video secara eksklusif menerusi gempak.com/thehouse.