Anak Artis Popular Era 90-an Dihukum Penjara!
17/01/2023 08:30 MYT
Anak artis wanita popular era 1990-an dihukum penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret, Kuala Pilah, pada Selasa, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah.
Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Syarra Sudarman, 29, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Saiful turut mengarahkan tertuduh menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah pada jam 11.45 pagi, 12 Oktober 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.
Syarra dikenakan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan terbabit bermula dari tarikh dia ditahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada jam 3 petang, 12 Oktober 2022.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan berkenaan bermula hari ini.
Tertuduh dalam rayuannya menyatakan sebelum ditahan, dia mempunyai pekerjaan tetap di Kuala Lumpur dan menyara anaknya.
Sumber - Harian Metro