Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Anak Bakal Hadapi PT3 & UPSR, Vanidah Imran Perlahankan Kerjaya Seni

Ahmad Shah
27/07/2016 05:05 MYT
Pelakon Vanidah Imran sanggup memperlahankan kerjaya seni buat sementara waktu untuk memberikan fokus kepada dua anaknya yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

“Saya sanggup korbankan kerjaya saya untuk beri perhatian lebih pada anak-anak sebab bagi saya keluarga itu lebih penting.

“Lagipun anak-anak saya akan menduduki peperiksaan penting tahun ini. Mikhail Imran, 15, akan ambil Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Maryam Rashika,12, pula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Saya akui jarang berlakon kerana sibuk dengan ank-anak, mereka lebih perlukan saya, jadi sebagai seorang ibu saya ambil keputusan untuk lebihkan masa bersama mereka,” katanya ketika ditemui di majlis pra-tonton filem Temuan Takdir di GSC, Mid Valley pada Selasa.

Tambah Vanidah lagi dia lebih selesa menguruskan anak-anaknya sendiri berbanding menggunakan khidmat pembantu rumah.

“Saya tak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah sejak anak pertama lagi kerana saya lebih suka uruskan anak-anak sendiri.

“Kalau dulu bila saya sibuk berlakon, suamilah yang akan tolong jagakan anak-anak dan dia banyak berkorban untuk keluarga.

“Kalau dia berlakon, saya pula yang akan uruskan, kami jaga bergilir-gilir. Sekarang saya rasa sudah tiba masanya untuk saya pula berkorban kerana suami sibuk dengan kerja dia,” ujarnya.

Dalam pada itu bercerita mengenai filem Temuan Takdir, Vanidah memberitahu dia menerima tawaran tersebut kerana ingin memberi peluang kepada produksi yang masih baru dalam industri perfileman.

“Zazen Design & Production ini masih baru dalam industri dan itu merupakan antara oenyebab saya terima untuk berlakon dalam filem mereka.

“Selain itu saya juga tertarik dengan mesej keharmonian masyarakat yang cuba mereka sampaikan melalui Temuan Takdir.

“Mereka masih baru dalam bidang ini jadi saya terfikir kenapa tidak kita cuba beri peluang kepada mereka untuk tunjukkan kebolehan mereka,” jelasnya.

Filem Temuan Takdir akan menemui penonton di pawagam pada 11 Ogos depan.

#Vanidah Imran
;