Penceramah bebas Ustaz Ebit Lew sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila tampil membantu golongan yang sebahagian besar mencari nafkah atau berkeliaran di jalanan.

Menerusi posting di Instagramnya, Ebit Lew yang turut ditemani pelakon popular Zul Ariffin dan beberapa selebriti lain dilihat sedang mengagihkan makanan kepada golongan tersebut.

“Misi ke KL sahabat-sahabat yang disayangi. Sayu jumpa pakcik dan makcik ni semua.

“Ramai menangis rindu dah lama saya tak tengok mereka. Makcik-makcik kata kami hari-hari doakan ustaz. Kami sayang ustaz sangat.

“Sedih rasa, orang miskin dan jalanan inilah saudara rapat saya. Anak bawah jambatan, pakcik makcik di jalanan.

“Kakak ibu tunggal yang besarkan anak seorang diri. Gembira dan sayang pada mereka sangat,” katanya.

Tambahnya, kehadiran Zul Ariffin bersama rakan selebriti lain juga sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada golongan tersebut.

“Hari ni mereka gembira lihat Zul Ariffin dan ramai lagi sahabat, artis, influencer, gamers yang berdakwah dan berkongsi rezeki.

“Semoga menjadi asbab kebaikan dan hidayah. Kerja ini banyak nak dibuat kerana itu perlu lebih ramai yang bersama-sama,” katanya.

Anda boleh lihat posting berkenaan di bawah.

View this post on Instagram

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)

Sekadar info, sejak akhir-akhir ini, Ebit Lew banyak menjalin kerjasama bersama ramai selebriti terkenal.

Difahamkan, pertemuan mereka untuk menghidupkan kebaikan dan kasih sayang dalam umat serta untuk misi kemanusiaan.

Antara yang kelihatan termasuklah Norman Hakim, Harris Alif, Sufian Suhaimi, Khai Bahar, Syafiq Farhain dan Kodi Rasheed.