Laman Utama

"Anak Bekas Menteri Terima Biasiswa Di Bawah Asnaf Fisabilillah" - MAIWP

gempak
Gempak
24/09/2023
09:20 MYT
Sponsor Banner
"Anak Bekas Menteri Terima Biasiswa Di Bawah Asnaf Fisabilillah" - MAIWP
Pemberian biasiswa kepada anak bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berasaskan takrifan asnaf fisabilillah.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu kenyataan berkata, Abdul Syakur Zulkifli merupakan salah seorang penerima Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Luar Negara MAIWP berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Penerima Skim Biasiswa MAIWP pada 11 September lalu.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa itu berperanan meneliti permohonan dan menganalisis keputusan temu duga sebelum meluluskan permohonan yang layak.
Ujarnya, takrifan asnaf fisabilillah yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-128 pada 4 Mac 2021 iaitu mana-mana golongan atau pihak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti untuk menegakkan, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam.
"Abdul Syakur memperolehi keputusan 8A (7A, 1A) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Hasil semakan mendapati pemohon dikategorikan dalam asnaf Fisabilillah dengan lebihan had kifayah.
"Bapa pelajar hanya menerima pencen dan telah melepaskan segala jawatan beliau termasuk juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM. Ini menepati syarat lebihan had kifayah yang ditetapkan bagi asnaf fisabilillah," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Pengguna media sosial sebelum ini mempersoalkan kewajaran Abdul Syakur yang berstatus anak bekas menteri mendapat biasiswa MAIWP untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Fiqh Wa Usuluh di Universiti Jordan.
Ia selepas Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan membuat perkongsian di media sosial mengenai anaknya melanjutkan pengajian dengan bantuan biasiswa tersebut.
MAIWP menjelaskan, Dasar Skim Bantuan Zakat yang diguna pakai sehingga kini adalah dasar yang telah diperakui dan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan serta prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Skim Bantuan Zakat MAIWP diluluskan Mesyuarat Pengurusan MAIWP.
"Dasar agihan ini melibatkan 30 skim dasar agihan bantuan dan termasuk Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang yang boleh dibantu melalui Asnaf Fakir, Miskin dan Fisabilillah.
"Untuk makluman, pada asasnya asnaf fisabilillah adalah tidak tertakluk kepada pengiraan had kifayah.
"Justeru, penentuan kelayakan bagi skim bantuan ini adalah brdasarkan lebihan had kifayah yang akan dipertimbangkan melalui Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Skim Biasiswa Baitulmal MAIWP," katanya.
Tambahnya, Abdul Syakur juga merupakan alumni dan bekas penuntut di Pondok Modern Al-Abaqirah MAIWP.
"Berdasarkan dasar dan SOP bantuan MAIWP, pelajar ini adalah lepasan Institusi MAIWP serta layak menerima Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Luar Negara MAIWP," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live