"Anak Bukan Alasan, Mereka Keutamaan" - Hanis Zalikha

Asraf Aided
Ogos 21, 2019 06:36 MYT
Pelakon Hanis Zalikha berasa terkilan kerana terpaksa menolak jemputan untuk menghadiri sebuah majlis disebabkan mahu menjaga dan menidurkan anaknya di rumah.
Menurut Hanis, walaupun alasan itu boleh dianggap perkara remeh, namun dua anaknya, Yusuf Iskandar dan adiknya Alisa Aisyah sedang dalam fasa untuk ditidurkan olehnya.
Perkara itu dikongsi Hanis menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.
Entri tersebut memaparkan foto suaminya, aktor Hairul Azreen menonton televisyen bersama anak-anak mereka.
"Sweet tengok TV sama-sama, baru sekejap tadi I kena turn down invite pergi event.
"Bukan kali pertama, rasa benci gila perasaan nak bagi sebab kenapa tak boleh pergi iaitu sebab timing tu time anak nak tidur dan diorang fasa nak kena juga Mommy yang tidurkan," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Hanis menegaskan ibu bapa tidak harus berasa malu jika terpaksa menolak perkara lain demi menjaga anak di rumah kerana anak merupakan keutamaan.
"Terasa orang pandang rendah sebab sikit-sikit tak boleh, ada je alasan anak.
"Nampaknya kena belajar perlahan-lahan dan didik diri jangan malu, kita bukan loser atas pilihan itu, sebab anak bukan alasan, anak keutamaan," tambahnya mengakhiri kapsyen.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan pendapat Hanis yang menganggap anak harus diberikan keutamaan.
Imbas kembali, Hanis dan Hairul mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015 dan telah dikurniakan dua orang cahaya mata iatu Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.
#Hanis Zalikha #Hairul Azreen