Berita
Anak Dah Tak Mahu Disuap, Tasha Manshahar Kongsi Cara Nak Biar Anak Kecil Makan Sendiri
Penyanyi Tasha Manshahar berkongsi perkembangan anak sulungnya, Muammar Rafiqi yang bakal menginjak usia genap setahun pada 21 Jun ini.
Menurut pelantun lagu Terima Kasih Cinta itu, anaknya itu kini sudah masuk ke fasa tidak mahu lagi disuap dan enggan makan seperti biasa.
"Muammar dah masuk fasa tak nak makan sangat. Makan dua tiga suap lepas tu tak nak dah, tapi aktif dia ya rabbi. Namun, tanpa gagal, tetap juga mommy sediakan makanan untuk dia setiap hari walaupun hujung-hujung banyak buang je.
"Bubur, nasi lembik, pasta dia tak berminat sangat dah. Tapi bila bagi nasi impit dia selera pula. Tu pun dia tak nak orang suap ya! Dia nak makan sendiri," katanya.
Begitupun, menurut Tasha, ia merupakan satu fasa perkembangan normal yang sering berlaku bagi seorang bayi.
"Fasa anak ni memang akan berubah-ubah. Sebab secara fizikal dan mental diorang pun berubah ikut peredaran masa. Jadi, ya normallah selera dorang berubah, akal pun makin banyak," katanya.
Begitupun, katanya, sebagai ibu dia perlu memainkan peranan untuk mempraktikkan cara betul dalam mengajar anak kecil makan sendiri.
"Nasi impit mini tu belah empat, isi ikan tu dah carik. Ikan dia ada dalam mangkuk lain. Ni antara teknik ibu-ibu boleh cuba untuk ajar anak makan sendiri.
"Jangan letak banyak-banyak. Letak satu-satu, jadi diorang akan fokus untuk kutip dan suap dalam mulut daripada main-main je dengan makanan tu.
"Awal-awal ibu-ibu kena buat demonstrasi dulu tau. Sudah pasti ia mengambil masa dan selalu kena praktis," katanya yang turut berkongsi video menerusi satu entri di Instagram.
Tasha mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Raqib Majid pada 8 September 2018.
Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan anak sulung, Muammar Rafiqi pada 21 Jun 2019.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video