Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Anak Dapat 5A 1B UPSR, AG Tak Cadang Hantar ke Sekolah Berasrama Penuh

Fiza Kamarudin
22/11/2019 02:23 MYT
Pengacara dan penyampai radio AG Azmeer tidak bercadang untuk menghantar anaknya Muhammad Arraz Ammar ke Sekolah Berasrama Penuh selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

AG Azmeer atau lebih dikenali sebagai AG berkata, dia dan isteri tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian kerana mahu anaknya itu membesar di depan mata.

Bagaimanapun kata AG, menghantar anak bersekolah di asrama penuh adalah hak individu dan keputusan tersebut harus dihormati.

“Kita harus hormat apa pun keputusan setiap orang. Ada orang hantar ke SBP ada pula mahu anak meneruskan pelajaran di sekolah aliran biasa.

“Bagi saya dan isteri, kami nak berada bersama anak-anak selagi diberi umur dan mahu melihat perkembangan anak hari-hari di depan mata.

“Kami mahu lihat dia menempuh fasa-fasa kehidupannya yang masih panjang bersama kami. Sama-sama kita doakan anak-anak kita berada dalam rahmat Allah SWT, Insha-Allah,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai keputusan 5A 1B peperiksaan UPSR Arraz, AG bersyukur dengan apa jua yang diperolehi anaknya itu.

“Sebagai seorang bapa saya melihat Arraz sangat berusaha di samping sokongan guru-guru selama ini.
“Arraz baru masuk sekolah rendah kerajaan pada tahun lepas jadi semuanya baru buat dia dan awal-awal dulu keputusan peperiksaan dia tidaklah begitu memberangsangkan.

“Tapi Alhamdulillah, hari ini dia dapat 5A dalam semua mata pelajaran dan B untuk penulisan. Itu sudah cukup-cukup baik buat dirinya dan saya bangga,” katanya.

Tambah AG dia tidak pernah memberi tekanan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 itu sebelum menduduki UPSR.


#Anak #UPSR #AG Azmeer
;