Kehilangan anak sulung Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, Emmeril Kahn Mumtadz yang lemas ketika berenang di Sungai Aare, Switzerland mencetuskan rasa hiba wargamaya.
Susulan daripada kehilangan tersebut, hari ini polis Switzerland berjaya menemukan jenazah Emmeril atau lebih dikenali sebagai Eril di pintu kawasan perairan Engehalde yang terletak di Bern.
Menurut pasukan forensik polis Switzerland, mereka menemui jenazah warganegara Indonesia yang hilang sejak 26 Mei lalu.
Memetik laporan Kapan Lagi, keluarga Ridwan meluahkan rasa syukur apabila jenazah anak mereka berjaya ditemui berikutan mereka sudah ikhlas dan reda dengan pemergian Eril.
“Allahuakbar! Alhamdulillah Ya Allah SWT. Engkau telah mengabulkan permohonan doa kami. Jenazah anakanda Emmeril Kahn Mumtadz sudah ditemukan," katanya.
Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke Indonesia untuk dikebumikan dan dijangka akan tiba pada 12 Jun ini.
Ridwan sendiri yang akan terbang ke Switzerland untuk menjemput jenazah anaknya pulang ke tanah air.
"Jenazah Eril Insya Allah akan kembali ke tanah air di hari minggu dan dikebumikan pada hari Isnin (13 Jun)," lanjut Ridwan.
Pada 26 Mei lalu, Eril dikatakan berenang di sungai tersebut. Di kala ingin naik ke permukaan, Eril dihanyutkan arus deras dan kawan-kawannya tidak sempat untuk mencapai tangannya.
Pasukan pencarian dan penyelamat polis Switzerland dikerahkan untuk mencari jasad Eril ditambah pula dengan bantuan drone.
Pada 1 Jun lalu, keluarga Ridwan bergegas terbang ke Switzerland bagi urusan bantuan mencari anaknya yang masih belum dijumpai ketika itu.
Mereka sekeluarga pulang semula ke Indonesia pada 3 Jun setelah tiada perkhabaran mengenai anaknya itu.