Laman Utama
Anak Jalani Pembedahan Buah Pinggang Pagi Ini, Shahrol Shiro Mohon Doa
Pelawak Shahrol Shiro memohon agar semua mendoakan urusan pembedahan buah pinggang anak keduanya, Ismail Rifqi.
Shahrol ketika dihubungi Gempak berkata, prosedur pembedahan akan bermula pada jam 9.30 pagi ini di Pusat Perubatan Sunway, Johor Bahru.
“Saya cuma berharap urusan pembedahan Ismail dipermudahkan. Tiada apa yang saya harapkan, cuma doa yang baik-baik daripada anda semua,” katanya.
Advertisement
Shahrol berkata, tarikh pembedahan ini juga sudah dijadual lebih awal sejak Ismail dimasukkan ke hospital tempoh hari.
“Selepas berbincang dengan doktor dan mengambil kira beberapa faktor saya dan isteri bersetuju untuk melakukan pembedahan demi menyelamatkan buah pinggang Ismail.
“Ismail hanya memiliki satu buah pinggang dan ia membengkak kerana 80 peratus salurannya tersumbat.
“Pembedahan perlu dilakukan untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Ditanya mengenai kos pembedahan, Shahrol berkata ia dianggarkan sekitar RM30,000 hingga RM40,000 bergantung kepada keadaan Ismail.
Dalam pada itu Shahrol berkata dia reda dengan ujian dari Allah SWT ini.
“Saya reda. Saya bersyukur kerana isteri saya seorang ibu dan wanita yang kuat. Kalau tidak kerana semangat daripada dia, saya juga tidak mungkin sekuat ini.
“Kepada yang mendoakan Ismail daripada awal, terima kasih daripada saya dan isteri. Hanya Allah dapat membalas jasa baik kalian semua,” katanya.
Ismail Rifqi, 8 bulan dimasukkan ke hospital pada awal September lalu kerana tidak sihat. Bagaimanapun selepas itu doktor mengesahkan Ismail hanya memiliki satu buah pinggang sejak dilahirkan.
Must-Watch Video