SUKAN

Anak Jati Terengganu, Hakim Danish Tunai Janji Pastikan Lagu Negaraku Bergema Di Sepanyol

Gempak 09/06/2025 | 13:26 MYT
Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara dalam Perlumbaan 2 Pusingan Ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) yang berlangsung di Litar Motorland Aragon, Sepanyol.

Kejayaan itu merupakan satu pencapaian luar biasa buat Hakim Danish, sekali gus membuktikan keupayaannya bersaing dalam kalangan pelumba remaja terbaik dunia dalam perlumbaan berprestij tersebut.

Lebih manis, detik gemilang itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila lagu kebangsaan, Negaraku bergema megah di bumi Eropah, satu penghormatan yang jarang dinikmati oleh pelumba dari Asia Tenggara.

Anak jati Terengganu itu sebelum ini pernah berjanji untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dan kemenangan itu menjadi bukti bahawa dia menunaikan janji tersebut dengan penuh semangat dan kesungguhan.

Perasaan gembira itu turut dikongsikan oleh Hakim Danish di laman Instagram miliknya.

"Akhirnya...juara!. Alhamdullilah,terima kasih semua yang medoakan dan tidak lupa juga kepada penaja, keluarga dan kawan-kawan yang sokong saya," katanya.

Prestasi cemerlang Hakim Danish dalam saingan RBMRC bukan sahaja mencuri tumpuan ramai, malah turut melonjakkan kedudukannya dalam carta keseluruhan kejuaraan musim 2025.

Setakat ini, Hakim Danish berjaya mengumpul 125 mata keseluruhan, sekali gus meletakkannya di kedudukan teratas carta kejuaraan RBMRC bagi musim ini.

Kedudukan selesa itu mengukuhkan lagi statusnya sebagai pelumba muda paling menyerlah ketika ini dan menjadi harapan besar negara dalam sukan permotoran dunia.

Sumber — Majoriti

undefined
#Sepanyol #Anak jati Terengganu #Hakim Danish #Negeraku #Pelumba muda