Meskipun anak kedua, Mohd Fahad Syamel baru berusia enam bulan, pengacara Fiza Frizzy mengesahkan dirinya kini sedang berbadan dua.

Fiza, 33, memberitahu dia pada mulanya ragu-ragu akan kehamilan tersebut sehingga ditegur kenalannya sebelum melakukan ujian kehamilan baru-baru ini.

"Seperti kebanyakan ibu yang baru sahaja melahirkan anak, sudah pasti ada di antara mereka mahu ‘pasang badan’ balik, nak kembali ke bentuk badan ideal dan sebagainya.

"Tapi nak dijadikan cerita bila ke gim, saya terfikir kenapa bahagian perut ni tak pula mengecil? Bahagian lain nampak macam okay, tapi bahagian perut tidak menunjukkan perubahan.

"Sebelum breakfast pun perut nampak buncit, lepas breakfast pun sama.

"Kemudian bila ada sesi ukur baju (fitting) bersama stylist, dia ada bertanya mengenai bentuk perut dan minta saya untuk buat ujian kehamilan. Jadi saya buatlah semalam (ujian kehamilan), Alhamdulillah positif.

"Saya belum pasti berapa usia kandungan, mungkin empat ke lima minggu. Selepas ini perlu rujuk ke doktor untuk kepastian lanjut," katanya.

Fiza ditemui pada majlis pelancaran Dulang Kafe di Kompleks Kelana Jaya Centre Points, pada Jumaat.

Fiza dan suami, Mohd Fazli Zulkifli bagaimanapun bersyukur dan teruja atas khabar gembira sekali lagi bakal menimang cahaya mata.

"Sebenarnya saya rancang untuk hamil anak ketiga lagi lima tahun, tapi rupa-rupanya rezeki Allah SWT nak bagi lepas lima bulan kehadiran anak kedua. Apa pun saya mendoakan yang baik-baik sahaja, insya-Allah.

"Suami turut sama terkejut tapi tentunya dia gembira. Sebab sebelum kami tahu mengenai kehamilan ini, rezeki kami berdua mencurah-curah.

"Jadi katanya inilah agaknya, kita menumpang rezeki anak. Saya idam anak perempuan sebab sudah ada dua anak lelaki. Apa pun saya kita kisah mengenai soal jantina. Memadai anak yang bakal lahir sihat sempurna seadanya, kami sudah bersyukur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fiza bakal terbang ke Eropah bagi menjalani penggambaran program berbentuk travelog pada Januari 2022.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!