Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Anak Orang Kaya Bayar RM7,520 Belajar Di Universiti Awam, Kerajaan Tanggung Kos RM80,623

Gempak
05/10/2024 04:55 MYT
Lebih 80 peratus subsidi yuran pengajian yang ditanggung kerajaan bagi kursus peringkat ijazah sarjana muda dan diploma di universiti awam (UA) turut dinikmati anak golongan kaya.

BERITA TRENDING: Jamal Abdillah Tetap Beri Bantuan Walau Zaki Yamani Berhabis 40,000 Demi Sambung Belajar - “Saya Akan Tanggung”

Ia berdasarkan bayaran dinyatakan dalam surat tawaran pengajian bagi pengambilan terbaharu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilihat BH.

Contoh, yuran pengajian peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di UKM menelan kos keseluruhan RM88,152 bagi tempoh kursus empat tahun, namun pelajar hanya perlu membayar RM7,520.

Subsidi itu meliputi semua pelajar kemasukan tahun akademik 2024/2025, termasuk dari keluarga kaya atau berpendapatan tinggi atau T20, merujuk 20 peratus isi rumah dengan pendapatan bulanan tertinggi di Malaysia, biasanya melebihi RM10,971.

Contoh lain, Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di UiTM menelan kos keseluruhan RM31,012 satu semester atau enam bulan, namun pelajar termasuk dari keluarga T20 hanya perlu membayar sekitar satu peratus atau RM1,048.

BERITA TRENDING: Sedia Berkahwin Lepas Tamat Pengajian, Leona Mahu Jadi Suri Rumah Sepenuh Masa - "Saya Hanya Nak Menjadi Seorang Ibu"

Subsidi besar itu menjadikan dana yang diperuntukkan kerajaan untuk membiayai pengajian pelajar kursus berkenaan mencecah RM29,964 setiap semester.

Maklumat yuran pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilihat BH menunjukkan purata kos pengajian ijazah sarjana muda bagi setiap pelajar setahun adalah antara RM20,000 hingga hampir RM40,000, bergantung jenis kursus.

Mengambil contoh Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, kos perubatan di UPM untuk setiap pelajar setahun bagi kolej tertentu adalah RM39,379 dengan yuran pengajian perlu dibayar pelajar hanya RM4,674 selepas subsidi RM34,705.

Bagi peringkat diploma, yuran pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di UiTM untuk satu semester adalah sebanyak RM5,482 dan selepas subsidi RM4,734, pelajar termasuk dari golongan kaya hanya perlu membayar RM748.

Universiti swasta juga dilihat menetapkan yuran sekitar jumlah sama, namun pelajar perlu mendapatkan sendiri pembiayaan, termasuk melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang perlu dibayar semula.

Contoh dilihat BH, IMU University menetapkan RM54,000 yuran pengajian satu semester atau RM108,000 setahun bagi kursus sarjana muda perubatan dan sarjana muda pembedahan.

Universiti Multimedia (MMU) mengenakan yuran RM54,250 sepanjang tempoh pengajian ijazah perakaunan, manakala Universiti Limkokwing dengan RM58,650 bagi pengajian sarjana muda sastera multimedia kreatif selama tiga tahun.

Isu subsidi pendidikan disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya ketika merasmikan Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Putrajaya, kelmarin.

Ucapan beliau seperti memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.

Tegas Perdana Menteri, membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan adalah tindakan tidak adil, sedangkan dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Anwar melihat wujud keadaan tidak adil apabila ada anak penjawat awam dengan pangkat kanan, pemimpin politik dan pengusaha terkenal dihantar ke sekolah terbaik dibiayai kerajaan.

Keadaan itu, tambahnya, tidak menggambarkan peratusan anak miskin ke pusat pendidikan terbaik dibantu kerajaan seperti sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains MARA.

"Bentuk ketirisan ini, termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains yang dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan, harus dihentikan," katanya yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri yang dijangka memperincikan isu itu dalam pembentangan Belanjawan 2025 dijadualkan 18 Oktober ini, memberi contoh anak orang kaya yang dihantar ke fakulti kejuruteraan sepatutnya membiayai sendiri kos pengajian.

"Sepatutnya, kalau anak orang kaya itu dihantar ke fakulti kejuruteraan, Melayu atau Cina atau Iban, dia kena bayarlah. Jadi dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan. Kalau tidak, subsidi seperti ini berterusan," tegas Anwar.

BERITA TRENDING: Hilangnya Bakal Pendidik Bangsa, Nur Farah Kartini Graduan Cemerlang Dengan GPA 4.0 - “Banyak Cabaran Sepanjang Tempoh Pengajian Ini Tapi…”

Tanggung subsidi besar

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi BH semalam, berkata subsidi besar ditanggung kerajaan menyebabkan segelintir pelajar tidak mengambil serius pembelajaran di universiti.

Beliau melihat dana disalurkan kerajaan untuk membiayai pengajian di UA tanpa pengkelasan kemampuan kewangan pelajar, adalah terlalu tinggi sedangkan subsidi turut dinikmati anak golongan T20 sepatutnya boleh disalurkan untuk kegunaan lain.

"Yuran di universiti awam terlalu rendah, ada yang kata kos ke tadika jauh lebih mahal," katanya percaya pelajar dari golongan T20 tiada masalah membayar kos penuh pengajian, malah ada berbelanja ratusan ribu ringgit melanjutkan pengajian di luar negara.

Menurutnya, jika pelajar dari golongan kaya ditetapkan membayar sendiri yuran pengajian, dana itu boleh digunakan UA untuk menguruskan institusi masing-masing dan meningkatkan kualiti pengajian setanding institusi luar negara.

"Jika UA ada dana dan peruntukan lebih, mereka akan mampu tingkatkan kualiti pengajian setanding institusi pengajian di luar negara," katanya bersetuju jika dilakukan penstrukturan semula subsidi pengajian di UA untuk golongan T20.

BERITA TRENDING: Pemeriksaan Kesihatan Termasuk Ujian HIV Pelajar Baharu Sudah Dilaksanakan


Sumber: Berita Harian
#Viral #Universiti #biasiswa #Belajar #Kerajaan #Pengajian #B40 #T20 #Orang Kaya #Subsidi
;