HIBURAN
Anak Raih Keputusan Cemerlang 7A Dalam IGCSE, Engku Emran Luah Rasa Syukur - “Segala Pengorbanan Ayah Tak Sia-Sia”
Ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin menitipkan kata-kata penuh makna buat anak perempuannya bersama pelakon Erra Fazira iaitu Engku Aleesya, selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Engku Emran menyifatkan ia sebagai hari paling indah dalam hidupnya.
“This is an appreciation post for my only child and daughter Aleesya.
“Terima kasih kerana membuat hati ayah dipenuhi dengan rasa bangga dan gembira yang luar biasa. Selama 11 tahun dalam tempoh persekolahan Aleesya, ayah telah menumpukan sebahagian besar daripada hidup ayah untuk memastikan kamu berjaya dalam pelajaran.
“Ayah tidak pernah terlepas satu pun acara sekolah yang kamu sertai, ayah hadir pada setiap sesi pertemuan ibu bapa dan guru, bersorak untuk setiap larian yang kamu jalani, semuanya atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ayah.
“Malam-malam panjang yang kita habiskan bersama mengulang kaji untuk peperiksaan, berjam-jam kita tersekat dalam kesesakan lalu lintas pergi dan balik dari kelas tambahan, ya semuanya juga atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah.
“Hari ini kamu telah membuktikan bahawa segala pengorbanan itu tidak sia-sia. Terima kasih Aleesya, terima kasih kerana menjadikan hari ini dengan mudah sebagai hari paling indah dalam hidup ayah.
“Apabila suatu hari nanti kamu mempunyai anak sendiri, ayah berharap kamu juga akan membuat pengorbanan yang sama untuk mereka seperti yang ayah lakukan untuk kamu dalam pendidikan.
“Tahniah atas 7A anak ayah! Alhamdulillah. Kekal rendah diri, kekal berpijak di bumi nyata,” titipnya.
Dalam hantaran tersebut, Engku Emran turut memuat naik foto bersama Aleesya serta keputusan peperiksaan anaknya.
Untuk rekod, Engku Emran mendirikan rumah tangga dengan Erra pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya.
Namun jodoh mereka tidak bertahan lama apabila bercerai pada 18 Februari 2014.
Engku Emran, 48, kemudian pernah bergelar suami kepada pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella sebelum berpisah pada tahun 2020.
Kemudian, sekali lagi berkahwin dengan kakak kepada selebriti terkenal Neelofa, Noor Nabila pada Februari 2021 namun disahkan berpisah pada September tahun lalu.