BERITA
“Anak Rindu, Jerit Papa Setiap Kali Kereta Tiba Di Rumah” – Isteri Mangsa Nahas FRU Kongsi Anak Tunggu Kepulangan Ayah
Ahli keluarga terutama anak-anak Koperal Syed Isfan Syed Mohammad yang mengalami kecederaan parah dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada Selasa mula merindui bapa mereka.
Isteri Syed Isfan, Rasidah Suhada Zulkifli, 32, berkata, tiga orang anaknya, Syed Habib Rahman, 7; Sharifah Afeeya, 5; dan Sharifah Aylaa, 2, tertunggu-tunggu kepulangan bapa mereka serta berharap segera kembali ke pangkuan keluarga.
Malah, dia turut mengakui berdepan kesukaran untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada anak-anak selepas mereka melihat laporan berita di televisyen mengenai kemalangan itu.
“Saya cuma beritahu papa kemalangan dan cedera sikit. Saya tak sampai hati nak ceritakan keadaan sebenar bapa mereka yang kritikal.
“Saya kata doktor jaga papa elok-elok, nanti bila papa balik, kita semua akan jaga dia sama-sama,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, sejak kejadian itu dia berulang-alik dari hospital ke rumah dan anak-anak kini dijaga oleh adik-beradiknya, kecuali anak bongsu yang masih menyusu badan.
“Alhamdulillah, anak bongsu saya tak banyak ragam walaupun terpaksa tinggal dengan orang lain. Biasanya dia takut orang, tapi sekarang dia macam faham.
“Tiap kali kereta sampai depan rumah, dia akan jerit papa. Mungkin dia belum faham apa yang berlaku, tapi memang dia sangat rindukan ayahnya,” katanya.
Katanya, hanya gambar suami yang mampu ditunjukkan sebagai pengubat rindu kepada anak-anaknya sambil memberi kata-kata semangat agar mereka terus kuat.
Sementara itu, Rasidah berkata, suaminya kini berada dalam keadaan stabil namun masih tidak sedarkan diri dan kini dimaklumkan mengalami demam selepas menjalani pembedahan.
“Keadaannya stabil. Doktor maklumkan dia mungkin akan sedar tidak lama lagi, cuma sekarang dia demam. Mungkin kesan daripada pembedahan,” katanya.
Syed Isfan mengalami kecederaan dalaman serius termasuk kebocoran pundi kencing, jangkitan kuman serta patah tulang pinggul dan rusuk serta dijangka menjalani dua lagi pembedahan dalam masa terdekat.
Dia antara sembilan anggota yang cedera itu kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dipindahkan dari Hospital Teluk Intan (HTI) pada hari kejadian.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTI.
Sumber: Sinar Harian