Laman Utama
Anak Sulung Mamak Puteh Jalani Pembedahan Kerana Masalah Pernafasan
Anak sulung Mamak Puteh, Iris Nur Adawiyah, 7, dimasukkan ke hospital selepas didapati mempunyai masalah pernafasan kerana tulang hidung senget.
Mamak ketika dihubungi berkata, Iris menjalani pembedahan hari ini untuk membuang nanah di bahagian telinga dan hidung.
“Tulang hidung Iris senget. Jadi bila senget, saluran pernafasan dia mempunyai masalah terutama ketika di selsema.
“Apabila selsema hingus tak boleh keluar melalui hidung dan tersangkut dan pergi ke telinga dan menjadi nanah.
“Pembedahan secara laser dilakukan untuk membetulkan saluran pernafasan Iris. Cuma tulang hidung yang senget itu tidak boleh nak buat apa lagi.
“Doktor kata kena tunggu Iris berusia 15 tahun untuk tengok keadaan tulang yang senget tu. Kebiasaannya akan pulih sendiri, tetapi kalau masih senget barulah pembedahan akan dilakukan untuk membetulkan bahagian tersebut,” katanya.
Mamak sebelum itu berkongsi foto anaknya di laman sosial Instagram (IG) sebelum prosedur pembedahan dilakukan.
“Pembedahan dilakukan di Pantai Hospital Penang, Bayan Lepas. Setakat ini keadaan Iris juga baik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya,” katanya.
Dalam pada itu Mamak mengucapkan rasa syukur kerana cepat mengesan masalah dihadapi oleh anaknya dan terus ke hospital.
"Minggu lepas saya nampak Iris macam tak berapa sihat lepas tu saya tengok dia bernafas guna mulut, tak macam selalu.
"Cepat-cepat saya bawa ke hospital dan rujuk dengan doktor," katanya.