Penceramah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin menitipkan kata-kata semangat buat penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan bayi berusia 22 hari selepas maut akibat kemalangan jalan raya semalam.

Menurut PU Amin, dia berharap agar Syafiq terus cekal dengan ujian yang menimpa dirinya dan keluarga.

"Buat Syafiq Ahmad, terus tabah dan kuat dengan ujian ini. Insya-Allah, awak akan bertemu anakanda kesayangan di syurga Allah nanti.

"Anak syurga ini akan menanti kalian di sana. Semoga Allah berikan kekuatan dan kesbaaran pada awak sekeluarga," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Katanya lagi, dia juga mengakui tidak sanggup untuk menatap video dan foto yang viral di media sosial mengenai insiden kemalangan tersebut.

"Saya tak mampu melihat gambar dan video yang viral tentang tragedi ini. Semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik.

"Semoga Allah angkat darjat awak di dunia ini dan di akhirat nanti," coretnya.

Pada masa sama, PU Amin turut menasihati orang ramai untuk berhenti daripada menyebarkan gambar insiden ngeri itu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Hanya Allah yang tahu perasaan dan isi hatinya sekeluarga. Hormati mereka dengan padam semua gambar dan video tragedi ini.

"Doakan mereka. Semoga Allah pelihara mereka. Ujian buat mereka yang kuat. Allah menguji hamba-Nya sesuai dengan kemampuan hamba-Nya sendiri," katanya.

Terdahulu, Syafiq, 25, terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi selepas kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipandunya itu hilang kawalan.

BACA: Syafiq Ahmad Kemalangan, Bayi Penyerang JDT Ini & Dua Wanita Meninggal Dunia

Dalam insiden tersebut, bayi lelakinya yang berusia 22 hari maut bersama ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Manakala, anak sulungnya, Aaira Nur Saffiyya, 2, dan isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.


Kredit foto: Astro Awani & Bernama