Anak kepada pelakon Tim Allen iaitu Elizabeth Allen-Dick menegaskan dia tidak menggunakan bapanya untuk mendapatkan watak dalam drama siri The Santa Clauses.

Bangga dapat bekerjasama dengan bapa sendiri buat kali pertama, Elizabeth berkata dia juga sama seperti pelakon lain melalui proses uji bakat sebelum ditawarkan untuk berlakon.

“Semuanya bermula ketika saya menjadi pelakon tambahan, dan dari situ saya mula jalani uji bakat. Saya sendiri tak jangka akan dapat menjadi sebahagian dalam siri tersebut.

“Saya tak terfikir pun akan dapat dan apabila saya dapat panggilan, saya mula menangis sebab tak sangka ia satu kejutan yang sangat besar yang tidak pernah dibayangkan.

“Saya tetap berbangga dapat bekerjasama dengan ayah dan semua pelakon yang sangat hebat. Saya sangat seronok bekerja dengan ayah. Tapi sudah tentu dia tidak beritahu apa yang saya perlu lakukan sebab dia mahu saya belajar sendiri.

“Walaupun dia ayah saya, tapi dalam set dia tak layan saya seperti anak tapi layanannya sama seperti pelakon-pelakon lain,” katanya.

Elizabeth yang memegang watak sebagai Sandra berkongsi perkara tersebut ketika sesi temu bual bersama media secara maya pada 2 November lalu.

Sementara itu, Tim turut menjelaskan dia tidak mempunyai kaitan dengan uji bakat anaknya dengan pihak produksi.

“Saya berkata kepada anak saya, apa saja yang anda mahu lakukan, saya tidak mahu ada kaitan dengannya. Tapi tak tahu macam mana, pihak produksi lakukan uji bakat dengannya.

“Tapi itu bukan idea daripada saya. Mungkin pihak produksi suka dengan bakatnya dan sesuai untuk watak dalam siri tersebut,” kata Tim.

Selain Elizabeth dan Tim, drama siri yang ditayangkan di Disney+ itu turut dibintangi oleh Elizabeth Mitchell, Kal Penn, Austin Kane, Rupali Redd, Devin Bright dan Matilda Lawler.

Siri itu mengisahkan tentang Scott Calvin (Tim Allen) bergelut untuk membahagikan masa bersama keluarga dan tugasnya sebagai Santa Claus.

Selepas menjadi Santa Claus selama hampir tiga puluh tahun, dia masih ceria seperti biasa namun sambutan Krismas merosot dalam populariti, begitu juga sihir Santanya.

Scott juga mempertimbangkan untuk berundur sebagai Santa Claus dan mencari pengganti yang layak supaya dia boleh menjadi bapa dan suami yang lebih baik.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!