Hiburan
Anak Tular ‘Speaking Berabuk’ Buka Showcase, Misha Omar: “Saya Tidak Paksa Dia…”
Misha Omar Back To Basic yang berlangsung di Jio Space hujung minggu lalu bukan hanya membuat nama pesohor seni itu menjadi buah mulut kerana kejayaan luar biasa yang dilakar namun kemunculan pertama kali anak lelakinya, Muhammad Idris Ezzwa turut menjadi perhatian.
Aksi Idris tular
Aksi Idris yang bersahaja dan memperkenalkan Misha Omar sebagai ibu terhebat serta penyanyi legenda dengan sebutan bahasa Inggeris yang baik telah menjadi tular di platform media sosial.
Idris yang pertama kali diperkenalkan secara langsung kepada umum sejak dilahirkan lapan tahun lalu itu tampil memakai kemeja putih telah mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada sekitar 1,400 peminat Misha.
Mengulas tentang video Idris memperkenalkan dirinya sewaktu konsert menjadi tular, penyanyi Bunga-Bunga Cinta itu mengatakan idea menggunakan anak lelakinya hasil perkahwinan bersama juruterbang Firros Ezzwan Rosly tercetus kerana menyifatkan Misha Omar Back To Basic sebagai persembahan yang sangat intim dan bermakna buatnya.
“Sebenarnya saya tidak memaksa jika Idris enggan membuka atau memperkenalkan saya pada malam showcase itu kerana sedar dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.
“Selama ini saya juga tidak pernah mendedahkan Idris secara terbuka kepada umum. Dia juga tidak pernah terlibat dengan sebarang persembahan saya.
“Namun Misha Omar Back To Basic adalah sesuatu yang istimewa saya rancang khas buat peminat. Dan kerana ia sangat istimewa maka saya mahu semua yang terlibat dalam acara ini juga istimewa. Salah satunya adalah Idris.
“Apabila saya tanya adakah Idris mahu ‘tolong’ saya, dia dengan teruja ingin melakukannya.
“Dan semua skrip yang dikeluarkan Idris malam itu adalah kata-kata yang diilhamkannya sendiri. Saya meminta pertolongan Nurzizi Zulkifli untuk membantu mengemaskan penampilannya di pentas,” cerita Misha kepada Gempak.
Misha, 43, juga menafikan menghantar Idris bersekolah di sekolah antarabangsa kerana disifatkan cerdik dan fasih bertutur bahasa Inggeris.
“Tidak, anak saya hanya bersekolah di sekolah biasa. Bukan sekolah antarabangsa. Cuma memang Allah beri rezeki Idris boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik maka kami sebagai ibu bapa memberi sokongan kepadanya,” ujar Misha.
Selain Idris, penampilan peminat yang menjadi pemenang untuk berduet dengannya pada malam tersebut turut menjadi perhatian. Misha berduet dengan Hariz Fayahet menerusi lagu Die With A Smile.
Untuk rekod, selain Idris, Misha juga memiliki seorang anak angkat lelaki, Adam yang kini sudah berusia 17 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Tambah Kategori Duduk, Misha Omar Janji Tidak Jejaskan Pemegang Tiket Berdiri Misha Back To Basic
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Sangka Semua Orang Banyak Duit” - Misha Omar Terkejut Tiket VIP Showcase Laris
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’ Bakal Ubati Kerinduan Peminat - “Sebagai Penghibur Yang Sudah 2 Dekad…”
Must-Watch Video