Salah seorang anak perempuan vokalis kumpulan legenda Rolling Stone, Mick Jagger ditahan pihak berkuasa selepas menyerang polis.

Jade Jagger dilaporkan El Pais, ditahan di pulau percutian terkenal dunia, Ibiza di Sepanyol.

Wanita yang merupakan seorang pereka barangan kemas itu dikatakan telah menginap di salah sebuah hotel di pulau tersebut sejak 11 Mei lalu.

Dia ditahan pihak polis bersama seorang lelaki selepas berlaku kekecohan di sebuah restoran di Ibiza.

Menurut kronologi kes, lelaki tersebut telah bertindak agresif terhadap seorang pelayan dan diminta keluar daripada restoran.

Namun dia masih tidak berpuas hati dan terus memaki hamun pelayan di tengah jalan. Sewaktu pihak polis tiba di lokasi kejadian, lelaki tersebut tidak mahu memberi kerjasama.

Jade, 51, yang berada dengannya telah menyerang polis. Dia didakwa mencakar dan menumbuk polis yang mahu meredakan situasi.

Lantaran tindakan kasarnya kepada pihak berkuasa, Jade telah ditahan dan bakal dihadapkan ke mahkamah.

Pihak Reuters bagaimanapun tidak dapat menghubungi pihak Jagger untuk mendapatkan respons, sementara pihak berkuasa enggan memberi sebarang kenyataan.